Wednesday, January 5, 2011

KEMENTAH RANCANG TUBUHKAN KOMPENI ASKAR WATANIAH DI 222 KAWASAN PARLIMEN

Siaran lewat tetapi kandungan beritanya difikirkan masih relevan untuk makluman pembaca. Ini mengenai berita yang tersiar di dalam Malaysiakini bertarikh 11 Dis 2010 mengenai rancangan kerajaan untuk menubuhkan sebanyak 222 kompeni Askar Wataniah (AW), iaitu pada kadar sebuah kompeni AW bagi setiap kawasan parlimen. Menurut Malaysiakini, setakat ini sebanyak 198 kompeni AW telah pun ditubuhkan di seluruh negara. Turut tersiar di dalam Malaysiakini ialah pandangan seorang ahli politik bahawa kerajaan mempunyai agenda tersembunyi di sebalek penubuhan kompeni-kompeni berkenaan.

Saya tidak bercadang mengulas dari perspektif politik tetapi sebaliknya berusaha untuk melihatnya dari sudut keselamatan dan pertahanan negara secara keseluruhannya. Namun demikian, saya akan cuba membetulkan pandangan ahli politik berkenaan di dalam tulisan ini.

Rancangan untuk menubuhkan kompeni-kompeni AW di keseluruhan kawasan parlimen di dalam negara bukanlah satu perkara baru. Ianya telah dirangka beberapa tahun yang lalu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan AW sebagai penyokong dan pelapis kepada tentera tetap (regular troops). Pembentukan kompeni-kompeni AW ini telah dilaksanakan secara berperingkat dan berita terakhir yang diperoleh mengenai perkembangan penubuhan kompeni-kompeni ini ialah sewaktu pelancaran penubuhan 4 kompeni AW oleh Panglima Tentera Darat (PTD) di Melaka pada 16 Okt 2010.

Menurut PTD, objektif utama penubuhan kompeni-kompeni AW adalah untuk menjadikannya sebagai “benteng kedua” pertahanan nasional menjelang tahun 2020. Bagi mencapai matlamat tersebut, ATM telah mensasarkan untuk merekrut seramai 2 anggota AW bagi setiap seorang anggota tentera tetap, atau pada nisbah 2:1.

Kekuatan AW masa kini dianggarkan seramai 60,000 orang. Sekiranya kekuatan ATM (lebih kurang 100,000 orang anggota) dikekalkan sehingga tahun 2020, ini bermakna ATM memerlukan seramai 200,000 anggota AW untuk mencapai sasaran tersebut. Dengan kekuatan AW yang ada sekarang, ini bermakna ATM perlu mendapatkan seramai 140,000 anggota sukakarelawan untuk mencapai sasaran 2:1 dalam tempoh 10 tahun mulai sekarang.

Rancangan penubuhan sebanyak 222 kompeni AW menepati keperluan bagi menempatkan seramai 200,000 anggota AW.Ini mengambil kira kekuatan sesebuah kompeni adalah dalam lingkungan 90 hingga 100 anggota, tidak termasuk pegawai dan anggota daripada pasokan tetap yang bertugas untuk memerintah dan mengurus tadbir kompeni-kompeni berkenaan.

Dari segi penempatan, sama ada kompeni-kompeni berkenaan di tempatkan di bawah kawasan parlimen ataupun kawasan daerah/jajahan sesebuah negeri bukanlah menjadi satu isu besar kerana mereka tidak menerima arahan daripada ahli parlimen mahupun pegawai daerah/jajahan. Sebaliknya ketua kompeni memerintah kompeninya berdasarkan arahan daripada Pegawai Memerintah Rejimen ataupun ATM. Tambahan lagi, ini adalah merupakan rancangan aturgerak (deployment plan) yang terbaik dilaksanakan selaras dengan objektif utama penubuhan kompeni-kompeni ini sebagai “benteng kedua” pertahanan nasional menjelang tahun 2020. Aturgerak seumpama ini turut menyokong dan membantu tugas utama pasokan tetap yang mempunyai tugas-tugas primer yang lain.

Saya juga berasa tidak wujud muslihat politik di sebalik penubuhan kompeni-kompeni AW ini kerana sebahagian besar daripada anggota AW yang akan mengisi kekuatannya adalah terdiri daripada warga kawasan parlimen itu sendiri.Sekiranya berlaku pillihanraya (umum atau kecil), mereka akan tetap mengundi di kawasan mereka sendiri, sama ada secara terbuka ataupun sebagai pengundi pos.

Saya kurang pasti mengenai maklumat bahawa 198 kompeni AW sudahpun ditubuhkan setakat ini. Sekiranya maklumat ini benar sekali pun, saya yakin kekuatan kompeni-kompeni ini masih belum dapat diisi sepenuhnya. Ini berdasarkan kenyataan PTD bahawa kekuatan masakini AW dianggarkan seramai 60,000 anggota sahaja.

Walaupun agak terdesak, ATM telah memberikan jangka waktu (time lime) yang agak panjang, iaitu selama 10 tahun untuk mencapai sasarannya. Harapan kita, semoga rancangan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada seluruh rakyat yang layak untuk menyertainya. Ini adalah merupakan opsyen yang terbaik kepada mereka yang ingin mendapatkan pengalaman hidup sebagai seorang anggota tentera secara tidak sepenuh masa.

Kita amat beruntung kerana Malaysia tidak melaksanakan program “national service” bagi mengabsahkannya (legitimize) untuk mengerak dan memobilisasikan rakyat untuk mempertahankan negara apabila keadaan menuntut ia berbuat demikian. Oleh kerana itu kita berasa kurang bertangungjawab ke atas perkara-perkara yang menyentuh soal-soal keselamatan dan seringkali bertanggapan bahawa isu-isu keselamatan dan pertahanan perlu ditangani dan dipertanggungjawabkan kepada pasokan keselamatan sahaja.

Keselamatan negara adalah tanggungjawab semua pihak. Banyak cara dan pendekatan yang boleh kita sebagai rakyat lakukan untuk tujuan itu. Salah satunya ialah dengan menyertai pasokan AW. Malah penubuhan AW boleh dianggap sebagai “nucleus” kepada “dasar pertahanan menyeluruh” yang memerlukan penyertaan kedua-dua sektor awam dan sektor swasta untuk menjayakannya. Ini kerana di dalam AWlah terdapatnya individu-individu yang memegang jawatan professional di sektor awam dan swasta yang dapat membantu menggerakkan jentera kerajaan ketika negara menghadapi keadaan darurat.

0 comments: