Wednesday, January 19, 2011

STRATEGI UNTUK TINGKATKAN PENYERTAAN BELIA CINA DALAM ATM

STRATEGI UNTUK TINGKATKAN PENYERTAAN BELIA CINA DALAM ATM

"Ketika ATM melancarkan program pengambilan anggota-anggota baru di Bidor pada akhir Nob 2010, hanya belia-belia Melayu dan India sahaja yang hadhir; tiada seorang pun belia bangsa Cina yang menyertainya", demikian tegas Menteri Pertahanan, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita selepas menerima kunjung hormat Duta Besar Republik Rakyat Cina ke Malaysia awal Jan 2011 lalu.

Satu berita yang amat mendukacitakan, tetapi itulah realitinya. Namun demikian, dalam usaha untuk terus menggalakkan lebih ramai belia bangsa Cina menyertai ATM satu strategi baru telah dirancang untuk dilaksanakan. Ketika menerangkan mengenai strategi baru itu, DS Ahmad Zahid berkata bahawa Kementah akan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, kolej-kolej yang mempunyai majoriti penuntut bangsa Cina dan juga akhbar-akhbar vernakular berbahasa Cina.

Apa yang diharapkan ialah agar strategi baru ini akan mendapat kerjasama dan sokongan yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang disebutkan. Yang pentingnya strategi ini memerlukan usaha yang bersepadu, terselaras dan fokus oleh semua pihak yang terbabit bagi merangsang dan menimbulkan minat di kalangan belia-belia Cina untuk menyertai ATM. Hanya dengan cara yang demikian secara tidak langsung akan menepis segala pandang negatif tentang keengganan belia-belia Cina daripada menyertai ATM.

Minat ke atas sesuatu perkara boleh disemai dan dipupuk sekiranya ia dilakukan melalui satu proses pembangunan (development process) yang berstruktur dan teratur. Banyak faktor yang boleh digembleng untuk menimbulkan minat. Antaranya ialah melalui proses penerangan/penjelasan (information/explaination), pemerhatian (observation), penyertaan (participation), sokongan (support), motivasi dan dorongan (encouragement).

Kita boleh memberi seribu satu dalih dan alasan ke atas apa juga perkara sekiranya kita tidak ada minat dan begitu pulalah sebaliknya. Kita sanggup berbuat apa sahaja - melanggar adat dan budaya bangsa, memutuskan hubungan kekeluargaan, menolak keuntungan dari segi ekonomi dan bertukar ideologi politik - semata-mata kerana adanya minat.

0 comments: