Wednesday, May 25, 2011

MALAYSIA BAKAL HANTAR PASUKAN KEAMANAN KE BAHRAIN?

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan bahawa Malaysia bersedia menghantar pasukan keamanan ke Bahrain jika diminta berbuat demikian oleh kepimpinan negara berkenaan. Pasukan pengaman itu, tambah Perdana Menteri akan membantu misi sah tentera Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council-GCC) yang melaksanakan peranan penting dalam memastikan kejayaan dialog nasional di Bahrain. Datuk Seri Najib berkata demikian selepas menghadap Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud pada 14 Mei 2011 lalu.

Seorang wartawan dan penganalisi pertahanan, Dzirhan Mahadzir yang memetik laporan Bernama mengenai pengumuman Perdana Menteri itu mengulas di dalam blognya bahawa ia merupakan satu idea paling buruk bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beberapa bloggers yang mengulas pandangan beliau turut bersetuju dengan pendapat tersebut. Antaranya berpendapat bahawa penyertaan pasukan pengaman dari Malaysia akan memberikan isyarat yang salah kepada dunia bahawa Malaysia menyokong dan membantu usaha oleh sebuah negara "penindas" (mungkin merujuk kepada Arab Saudi) demi menjaga keselamatan negaranya sendiri. Seorang pengulas yang lain pula berpendapat bahawa penyertaan Malaysia bakal menjejaskan kedudukan serta imejnya sebagai sebuah negara yang mempraktikkan dasar "berkecuali" dan tidak campor tangan di dalam urusan dalaman sebuah negara lain. Manakala seorang pengulas lain berpendapat tanpa adanya mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyertaan Malaysia di dalam misi pengamanan itu boleh dianggap sebagai "tidak sah".

Saya bersetuju dengan sebahagian dari pendapaat yang diberikan khususnya tentang peranan yang dimainkan oleh Arab Saudi. Pada pandangan saya, Arab Saudi telah mengambil tindakan secara "pre-emptive" untuk memastikan tidak berlakunya beberapa kemungkinan berikut. Pertama, mengelakkan dari meletusnya pergolakkan politik yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan Bahrain sepertimana yang telah berlaku di Mesir dan Tunisia dan sedang berlaku di Libya, Yemen dan Maghribi. Pergolakan politik yang berlaku di Bahrain akan turut menjejaskan keselamatan Arab Saudi kerana jalan keluar yang menghubungkan Baahrain dengan dunia luar hanyalah melalui Arab Saudi.

Kedua, kemelut politik di Bahrain juga, mungkin pada tanggapan Arab Saudi boleh menjejaskan kestabilan politik di 5 buah negara lain yang menganggotai GCC kerana ia boleh merangsang tindakan yang sama diambil oleh pihak-pihak yang berkepentingan di dalam negera-negera berkenaan. Kemungkinan ini tidak boleh ditolak kerana berdasarkan laporan oleh Center for Strategic and International Studies (CSIS) bertarikh Mac 2011, negara-negara GCC begitu terdedah lemah (vulnerable) kepada banyak ancaman dalam dan luaran termasuk ancaman terrorisme, percambahan aktiviti peluru berpandu Iran dan ketidak stabilan di Iraq.

Ketiga, tindakan secara "pre-emtive" oleh Arab Saudi ini juga dipercayai bagi mengelakkan campur tangan oleh negara-negara Barat khasnya Amerika Syarikat, Britain dan Peranchis. Campur tangan negara-negara berkenaan termasuk oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) contohnya di Libya mungkin membimbangkan Arab Saudi .

Akhirnya pada hemat saya, keputusan sama ada Malaysia akan menghantar pasukan keamanan ataupun sebaliknya ke Bahrain adalah merupakan satu keputusan politik. Namun, saya amat yakin bahawa sebelum Perdana Menteri berbuat demikian, beliau sudah tentu terlebih dahulu mendapatkan taklimat dan pandangan daripada penasihat-penasihat daripada Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan dan ATM.

0 comments: