Saturday, May 21, 2011

MENTERI PERTAHANAN ASEAN METERAI KERJASAMA DALAM LIMA BIDANG KESELAMATAN SERANTAU

Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ASEAN Defence Ministers'Meeting -ADMM)yang berlangsung di Jakarta pada 19 Mei 2011 telah memeterai perjanjian untuk meningkatkan kerjasama dalam lima bidang keselamatan bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman dan rintangan baik di peringkat serantau mahupun di peringkat global.

Lima bidang yang berkenaan adalah keselamatan maritim, operasi pemantauan keamanan (peace keeping operations-PKO), peningkatan dalam bidang industri pertahanan, operasi bantuan bencana dan kemanusiaan (disaster relief and humanitarian operations) serta program kerja tiga-tahunan Menteri-Menteri Pertahanan.

Bagi memudahkan urusan kerjasama dalam bidang operasi pemantauan keamanan, ADMM sepakat membentuk Jaringan Pusat-pusat Keamanan ASEAN(ASEAN Peacekeeping Centres Network). Dalam konteks industri pertahanan ASEAN pula, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menggesa anggota ASEAN agar meningkatkan kekuatan industri dan teknologi pertahanan untuk mengembangkan kolaborasi industri pertahanan se Asia Tenggara atau ASEAN Defence Industry Collaboration (ADIC).Menurut Datuk Seri Zahid lagi, kolaborasi produk pertahanan akan berjaya jika ada perpindahan teknologi serta penyediaan "off set" antara negara ASEAN.

Apa yang telah disepakati oleh para menteri pertahanan ASEAN di dalam ADMM berkenaan adalah merupakan satu langkah ke hadapan bagi memantapkan lagi permaufakatan dan kerjasama di dalam bidang pertahanan dan keselamatan di kalangan negara-negara ASEAN.

Sementara operasi keselamatan maritim dan operasi bantuan bencana dan bantuan kemanusiaan adalah bidang kerjasama yang telah dilaksanakan sama ada secara berkumpulan atau secara keseluruhan oleh anggota-anggota ASEAN, apa yang paling signifikan di dalam pemeteraian perjanjian ini ialah pembentukan ASEAN Peacekeeping Centres Network dan ADIC.

Pembentukan ASEAN Peacekeeping Centres Network, sebagaimana penjelasan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Purnomo Yusgiantoro, adalah bagi memudahkan kerjasama bagi menghasilkan perdamaian antara semua anggota ASEAN. Kita sedia maklum bahawa banyak masalah dua hala khasnya mengenai tuntutan bertindih adalah merupakan faktor "duri dalam daging" yang kerap kali mengeruhkan hubungan antara negara.Dengan adanya jaringan seumpama ini, negara-negara yang menghadapi masalah boleh melantik sebuah negara ASEAN yang lain untuk menjadi "orang ketiga" bagi menyelesaikan isu yang berkaitan di meja rundingan, sepertimana yang dilakukan oleh Indonesia di dalam isu tuntutan oleh Thailand dan Kemboja.

Penubuhan ADIC disifatkan sebagai kemuncak kepada kerjasama di dalam bidang industri pertahanan. Ia memerlukan political will di kalangan pemimpin negara-negara ASEAN dan juga masa yang agak lama untuk direalisasikan. Keperluan pertama adalah bagi setiap negara ASEAN untuk meningkatkan kekuatan industri dan teknologi pertahanan negara masing-masing.Hanya selepas kekuatan ini dapat dihasilkan barulah ia dikembangkan untuk mewujudkan satu kesepakatan (collaboration) di kalangan negara-negara ahli.

1 comments:

Ahmad Izzuddin said...

tuan,

harapnya kerjasama antara negara ASEAN ini bertahan lama.Maklumlah, dunia sekarang ini memerlukan kita bersikap syak wasangka dan berhati-hati berurusan dengan negara luar.