Wednesday, January 26, 2011

TLDM IKRAR AKAN TERUS SERBU LANUN

Demikian tegas Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar sebagai langkah mempertahankan tindakan Paskal merampas semula kapal MT Laurel yang telah dikritik oleh Tentera Laut Kesatuan Eropah (EU).

PTL selanjutnya berkata bahawa, serbuan sedemikian penting bagi menimbulkan ketakutan ke atas lanun agar mereka tidak lagi melakukan jenayah di laut lepas, khasnya terhadap kapal-kapal milik Malaysia. Tegas beliau lagi, " Tiada kompromi dalam hal ini". "Bagaimanapun, kita tidak akan bertindak sekiranya keselamatan anak-anak kapal yang ditawan itu berada dalam bahawa".

Apa yang dikatakan oleh PTL itu ada kebenarannya. Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan lanun Somalia yang berleluasa telah mengakibatkan kerugian lebih RM 22 bilion setahun kepada dunia. Lanun Somalia telah menahan lebih 2,000 tebusan dan menerima wang tebusan berjumlah RM 30 juta hasil rampasan kapal tangki sejak Disember 2008. Sehingga akhir 2010, seramai 612 tebusan dan 26 kapal masih ditawan.

Cuba kita bayangkan jika sekiranya tidak ada negara seperti Malaysia, Australia dan Korea Selatan yang berani bertindak balas ke atas keganasan lanun Somalia itu, sudah pasti statistik rampasan kapal , pembayaran wang tebusan dan kerugian kepada barang muatan akan semakin meningkat.

Tentera Laut Kesatuan Eropah mungkin mengguna pakai pendekatan yang berbeza. Mereka hanya akan bertindak apabila pasti keselamatan krew akan terselamat. Dalam konteks ini, apa bezanya operasi menyelamat yang telah dilaksanakan oleh Paskal. Tidak ada seorang pun anak kapal MT Laurel yang tercedera.Ini kerana dalam apa bentuk operasi yang dijalankan oleh ATM, kita perlu patuh kepada arahan tetap (standing operating procedures) dan juga undang-undang pertempuran (rules of engagement). Pada masa yang sama, sepertimana kenyataan PTL, kita perlu memastikan bahawa anak-anak kapal yang ditawan berada dalam keadaan selamat.

Lanun Somalia telah memberi amaran untuk tidak menawan anak anak kapal Korea Selatan tetapi sebaliknya terus membunuh mereka sebagai tindak ba;las di atas kematian rakan-rakan mereka. Saya fikir Malaysia tidak terkecuali daripada menerima amaran yang sama (walaupun tidak disebut secara jelas). Kementah/ATM dan MISC perlu mengambil maklum mengenai perkara ini dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.

Saturday, January 22, 2011

SYABAS TLDM, TAHNIAH

SYABAS TLDM,TAHNIAH ATM

Syabas TLDM di atas kejayaan Pasokan Khas Lautnya (Paskal) membebaskan sebuah kapal tangki negara MT Laurel berserta 23 orang anak kapalnya daripada tawanan lanun Somalia di perairan Teluk Aden, dua hari yang lalu.Walaupun, contohnya akhbar The Star hari Sabtu memberikan liputan yang relatif meluas kepada misi menyelamat oleh tentera Korea Selatan selang sehari selepas kejayaan Paskal, kerana liputan beritanya dipetik oleh agensi berita antarabangsa (AFP), namun saya berasa cukup bangga dengan kejayaa Paskal.

Kita patut berasa kagum dengan kejayaan Paskal kerana kemampuannya melaksanakan misi tersebut "in a record breaking time" - iaitu lebih kurang dua jam selepas MT Laurel ditawan. Setelah meneliti laporan dua buah akhbar tempatan saya dapati bahawa kejayaan ini dicapai kerana adanya beberapa faktor berikut. Pertama, adanya faktor "timeliness" - semua yang terlibat tidak banyak membuang masa, sama ada menanti untuk menerima arahan daripada pihak yang lebih tinggi atau menanti tuntutan daripada pihak lanun. Sejurus selepas diserang oleh lanun, anak-anak kapal MT Laurel telah mengaktifkan Sistem Amaran Keselamatan kapal (SSAS).Sebaik menerima panggilan kecemasan tersebut, Pemeritah Paskal yang berada di kapal MV Bunga Mas 5 terus mengarahkan trupnya untuk bertindak. Kedua, anak-anak kapal MT Laurel faham dan patuh kepada arahan tetap iaitu mengaktifkan SSAS, berkumpul dan bersembunyi, memadamkan lampu dan mematikan injin kapal. Ini merumitkan pihak lanun untuk melakukan tindakan-tindakan selanjutnya. Ketiga, adanya ko-ordinasi diantara pemerintah Paskal di MV Bunga Mas 5 dengan anggota-anggotanya yang berada di dalam dua buah bot untuk melakukan operasi menyelamat dan juruterbang helikopter Fennec yang memberikan bantuan tembakan dan panduan arah. Keempat, komunikasi yang berterusan diantara ketiga-tiga elemen tersebut di atas. Kelima, penggunaan taktik dan prinsip peperangan yang betul antaranya, "concealment" - iaitu memulakan operasi menyelamat di waktu dinihari (suasana gelap). Tindakan seumpama ini boleh menimbulkan kejutan (surprise) kepada pihak lanun, dan juga penggunaan kuasa tembak (fire power)yang lebih superior daripada pihak musuh melalui tembakan bantuan daripada helikopter Fennec dan MV Bunga Mas 5.

Pada hemat saya operasi menyelamat yang dilaksanakan oleh Paskal boleh disifatkan sebagai satu "calculated risk" kerana mereka banyak tidak tahu mengenai pihak musuh. Namun, menerusi latihan-latihan yang telah dilalui dan sifat keberanian mereka telah berjaya dengan cemerlang.

Paskal bukan sahaja telah menyelamatkan harta negara dan muatannya yang bernilai lebih kurang RM 30 juta, tetapi yang lebih penting mereka telah berjaya menyelamatkan nyawa 23 orang anak-anak kapal MT Laurel.Saya pasti sekiranya berita ini berjaya dipetik oleh agensi-agensi berita antarabangsa, kejayaan Paskal bukan sahaja akan menjulang nama Malaysia tetapi juga akan menaikkan imej ATM secara keseluruhannya dan TLDM khasnya.

Syabas TLDM dan tahniah ATM!!!

Wednesday, January 19, 2011

STRATEGI UNTUK TINGKATKAN PENYERTAAN BELIA CINA DALAM ATM

STRATEGI UNTUK TINGKATKAN PENYERTAAN BELIA CINA DALAM ATM

"Ketika ATM melancarkan program pengambilan anggota-anggota baru di Bidor pada akhir Nob 2010, hanya belia-belia Melayu dan India sahaja yang hadhir; tiada seorang pun belia bangsa Cina yang menyertainya", demikian tegas Menteri Pertahanan, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita selepas menerima kunjung hormat Duta Besar Republik Rakyat Cina ke Malaysia awal Jan 2011 lalu.

Satu berita yang amat mendukacitakan, tetapi itulah realitinya. Namun demikian, dalam usaha untuk terus menggalakkan lebih ramai belia bangsa Cina menyertai ATM satu strategi baru telah dirancang untuk dilaksanakan. Ketika menerangkan mengenai strategi baru itu, DS Ahmad Zahid berkata bahawa Kementah akan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, kolej-kolej yang mempunyai majoriti penuntut bangsa Cina dan juga akhbar-akhbar vernakular berbahasa Cina.

Apa yang diharapkan ialah agar strategi baru ini akan mendapat kerjasama dan sokongan yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang disebutkan. Yang pentingnya strategi ini memerlukan usaha yang bersepadu, terselaras dan fokus oleh semua pihak yang terbabit bagi merangsang dan menimbulkan minat di kalangan belia-belia Cina untuk menyertai ATM. Hanya dengan cara yang demikian secara tidak langsung akan menepis segala pandang negatif tentang keengganan belia-belia Cina daripada menyertai ATM.

Minat ke atas sesuatu perkara boleh disemai dan dipupuk sekiranya ia dilakukan melalui satu proses pembangunan (development process) yang berstruktur dan teratur. Banyak faktor yang boleh digembleng untuk menimbulkan minat. Antaranya ialah melalui proses penerangan/penjelasan (information/explaination), pemerhatian (observation), penyertaan (participation), sokongan (support), motivasi dan dorongan (encouragement).

Kita boleh memberi seribu satu dalih dan alasan ke atas apa juga perkara sekiranya kita tidak ada minat dan begitu pulalah sebaliknya. Kita sanggup berbuat apa sahaja - melanggar adat dan budaya bangsa, memutuskan hubungan kekeluargaan, menolak keuntungan dari segi ekonomi dan bertukar ideologi politik - semata-mata kerana adanya minat.

Wednesday, January 5, 2011

KEMENTAH RANCANG TUBUHKAN KOMPENI ASKAR WATANIAH DI 222 KAWASAN PARLIMEN

Siaran lewat tetapi kandungan beritanya difikirkan masih relevan untuk makluman pembaca. Ini mengenai berita yang tersiar di dalam Malaysiakini bertarikh 11 Dis 2010 mengenai rancangan kerajaan untuk menubuhkan sebanyak 222 kompeni Askar Wataniah (AW), iaitu pada kadar sebuah kompeni AW bagi setiap kawasan parlimen. Menurut Malaysiakini, setakat ini sebanyak 198 kompeni AW telah pun ditubuhkan di seluruh negara. Turut tersiar di dalam Malaysiakini ialah pandangan seorang ahli politik bahawa kerajaan mempunyai agenda tersembunyi di sebalek penubuhan kompeni-kompeni berkenaan.

Saya tidak bercadang mengulas dari perspektif politik tetapi sebaliknya berusaha untuk melihatnya dari sudut keselamatan dan pertahanan negara secara keseluruhannya. Namun demikian, saya akan cuba membetulkan pandangan ahli politik berkenaan di dalam tulisan ini.

Rancangan untuk menubuhkan kompeni-kompeni AW di keseluruhan kawasan parlimen di dalam negara bukanlah satu perkara baru. Ianya telah dirangka beberapa tahun yang lalu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan AW sebagai penyokong dan pelapis kepada tentera tetap (regular troops). Pembentukan kompeni-kompeni AW ini telah dilaksanakan secara berperingkat dan berita terakhir yang diperoleh mengenai perkembangan penubuhan kompeni-kompeni ini ialah sewaktu pelancaran penubuhan 4 kompeni AW oleh Panglima Tentera Darat (PTD) di Melaka pada 16 Okt 2010.

Menurut PTD, objektif utama penubuhan kompeni-kompeni AW adalah untuk menjadikannya sebagai “benteng kedua” pertahanan nasional menjelang tahun 2020. Bagi mencapai matlamat tersebut, ATM telah mensasarkan untuk merekrut seramai 2 anggota AW bagi setiap seorang anggota tentera tetap, atau pada nisbah 2:1.

Kekuatan AW masa kini dianggarkan seramai 60,000 orang. Sekiranya kekuatan ATM (lebih kurang 100,000 orang anggota) dikekalkan sehingga tahun 2020, ini bermakna ATM memerlukan seramai 200,000 anggota AW untuk mencapai sasaran tersebut. Dengan kekuatan AW yang ada sekarang, ini bermakna ATM perlu mendapatkan seramai 140,000 anggota sukakarelawan untuk mencapai sasaran 2:1 dalam tempoh 10 tahun mulai sekarang.

Rancangan penubuhan sebanyak 222 kompeni AW menepati keperluan bagi menempatkan seramai 200,000 anggota AW.Ini mengambil kira kekuatan sesebuah kompeni adalah dalam lingkungan 90 hingga 100 anggota, tidak termasuk pegawai dan anggota daripada pasokan tetap yang bertugas untuk memerintah dan mengurus tadbir kompeni-kompeni berkenaan.

Dari segi penempatan, sama ada kompeni-kompeni berkenaan di tempatkan di bawah kawasan parlimen ataupun kawasan daerah/jajahan sesebuah negeri bukanlah menjadi satu isu besar kerana mereka tidak menerima arahan daripada ahli parlimen mahupun pegawai daerah/jajahan. Sebaliknya ketua kompeni memerintah kompeninya berdasarkan arahan daripada Pegawai Memerintah Rejimen ataupun ATM. Tambahan lagi, ini adalah merupakan rancangan aturgerak (deployment plan) yang terbaik dilaksanakan selaras dengan objektif utama penubuhan kompeni-kompeni ini sebagai “benteng kedua” pertahanan nasional menjelang tahun 2020. Aturgerak seumpama ini turut menyokong dan membantu tugas utama pasokan tetap yang mempunyai tugas-tugas primer yang lain.

Saya juga berasa tidak wujud muslihat politik di sebalik penubuhan kompeni-kompeni AW ini kerana sebahagian besar daripada anggota AW yang akan mengisi kekuatannya adalah terdiri daripada warga kawasan parlimen itu sendiri.Sekiranya berlaku pillihanraya (umum atau kecil), mereka akan tetap mengundi di kawasan mereka sendiri, sama ada secara terbuka ataupun sebagai pengundi pos.

Saya kurang pasti mengenai maklumat bahawa 198 kompeni AW sudahpun ditubuhkan setakat ini. Sekiranya maklumat ini benar sekali pun, saya yakin kekuatan kompeni-kompeni ini masih belum dapat diisi sepenuhnya. Ini berdasarkan kenyataan PTD bahawa kekuatan masakini AW dianggarkan seramai 60,000 anggota sahaja.

Walaupun agak terdesak, ATM telah memberikan jangka waktu (time lime) yang agak panjang, iaitu selama 10 tahun untuk mencapai sasarannya. Harapan kita, semoga rancangan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada seluruh rakyat yang layak untuk menyertainya. Ini adalah merupakan opsyen yang terbaik kepada mereka yang ingin mendapatkan pengalaman hidup sebagai seorang anggota tentera secara tidak sepenuh masa.

Kita amat beruntung kerana Malaysia tidak melaksanakan program “national service” bagi mengabsahkannya (legitimize) untuk mengerak dan memobilisasikan rakyat untuk mempertahankan negara apabila keadaan menuntut ia berbuat demikian. Oleh kerana itu kita berasa kurang bertangungjawab ke atas perkara-perkara yang menyentuh soal-soal keselamatan dan seringkali bertanggapan bahawa isu-isu keselamatan dan pertahanan perlu ditangani dan dipertanggungjawabkan kepada pasokan keselamatan sahaja.

Keselamatan negara adalah tanggungjawab semua pihak. Banyak cara dan pendekatan yang boleh kita sebagai rakyat lakukan untuk tujuan itu. Salah satunya ialah dengan menyertai pasokan AW. Malah penubuhan AW boleh dianggap sebagai “nucleus” kepada “dasar pertahanan menyeluruh” yang memerlukan penyertaan kedua-dua sektor awam dan sektor swasta untuk menjayakannya. Ini kerana di dalam AWlah terdapatnya individu-individu yang memegang jawatan professional di sektor awam dan swasta yang dapat membantu menggerakkan jentera kerajaan ketika negara menghadapi keadaan darurat.