Monday, February 21, 2011

SATU LAGI PENCAPAIAN "PERTAMA" UNTUK NORHUDA



Tahniah kepada Kol Norhuda Ahmad kerana dinaikkan pangkat ke Brigadier Jeneral pada 16 Feb 2011 yang lalu. Sesungguhnya kenaikkan pangkat itu bukan sahaja merupakan satu kejayaan peribadi kepada beliau tetapi ia merupakan satu sejarah kepada Kor Risik DiRaja (KRD) dan Tentera Darat (TD) kerana buat julung kalinya seorang pegawai dari Senarai Am TD telah dinaikkan ke pangkat Brig Jen.

Saya melihat kenaikkan pangkat Norhuda ini dari dua aspek; pertama, dari segi ketokohan dan kelayakan beliau sendiri dan kedua, dasar yang dipraktiskan oleh TD masa kini.

Dari segi ketokohan dan kelayakan, kenaikkan pangkat Norhuda tidak perlu dipertikai dan diragui lagi. Sejak berkhidmat selama lebih dari 30 tahun bersama TD, banyak pencapaian "pertama" yang telah beliau peroleh. Beliau adalah merupakan salah seorang daripada sekumpulan pegawai-pegawai muda wanita daripada Askar Wataniah (AW) yang menjadi perintis untuk berkhidmat secara tetap dan seterusnya menubuhkan "Kor Pegawai Wanita" di dalam TD pada pertengahan tahun 1970an. Norhuda juga merupakan pegawai wanita pertama yang dianugerahkan dengan "sayap" selepas lulus di dalam Kursus Asas Payung Terjun yang dianjurkan oleh Pusat Latihan Pasokan Khas (PLPK). Selain dari itu, beliau juga adalah pegawai wanita pertama dari Senarai Am TD yang dinaikkan ke pangkat Kolonel dan pegawai wanita pertama yang memegang jawatan sebagai Komandan, Pusat Latihan Risik. Dari segi kelayakan akademik dan kerjaya pula, Norhuda adalah pemegang ijazah pertama (BA) dalam jurusan Komunikasi Massa dan tiga (3) ijazah di peringkat sarjana (MA) dalam bidang-bidang Pengurusan Sumber Manusia, Pengajian Pertahanan dan Pengajian Dasar, Perisikan dan Anti-Keganasan.

Dari segi polisi pula, adalah menjadi dasar TD untuk memberi peluang kepada setiap anggotanya, sama ada pegawai atau anggota lelaki mahupun wanita, untuk dinaikkan pangkat. Tidak ada diskriminasi dari segi "gender" ataupun bangsa. Menyentuh mengenai perkara ini, Panglima Tentera Darat, Jen Dato Seri Zulkefeli Mohd Zain berkata, selain kekosongan jawatan, antara kriteria yang diperlukan untuk pertimbangan kenaikkan pangkat ialah rekod perkhidmatan yang baik dan bersih, pengalaman dan keupayaan intelektual.

Sekali lagi tahniah kepada Norhuda. Semoga kenaikkan pangkat beliau boleh dijadikan perangsang dan contoh untuk diikuti oleh pegaswai-pegawai wanita TD yang lain.

Monday, February 14, 2011

"MALAYSIAN MILITARY OPERATIONS THAT MADE HEADLINES NEWS IN THE PAST 10 DAYS"

Isi kandungan kepada tajuk di atas yang ditulis oleh blogger Senang Diri telah menarik perhatian saya untuk mengulas. Menurut beliau, dalam tempoh 10 hari terakhir ini ATM telah berjaya melaksanakan tiga operasi penting di peringkat antarabangsa iaitu, penghantaran kontinjen MALBATT 3 ke Lebanon; operasi menyelamat MT Bunga Laurel serta anak-anak kapalnya dari menjadi tawanan lanun Somalia menerusi pelaksanaan Op Fajar, dan kejayaan melaksanakan operasi memindahkan rakyat Malaysia daripada Mesir ke Jeddah melalui Op Piramid.

Kontinjen MALBATT 3 seramai 440 anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM telah pun berlepas ke Lebanon pada 28 Jan 2011 yang lalu. Memandangkan bahawa setiap kontinjen perlu berkhidmat selama lebih kurang 9 bulan, ini bererti bahawa ATM telah pun menyumbangkan khidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menguat kuasakan keamanan di Lebanon selama hampir 3 tahun.

Dalam mengulas mengenai kejayaan ATM melaksanakan Op Fajar, blogger menyebut,

" To those who know how the ATM trains its commandos, the end result of the firefight was a foregone conclusion even before the first shot was fired. The commandoes showed tremendous fire discipline in rounding up the suspects - all 18 were captured alive. Had they wanted to, they could have easily shot and disposed of all 18 suspects on high seas..."

Mengenai Op Piramid pula, blogger yang sama telah mengulas seperti berikut'

" Ops Pyramid may be a non-combatant evacuation operation conducted under benign conditions (ie no one is shooting at your forces), but Malaysia's ability to pull it off is a noteworthy counterpoint to those who speak dismissively about its joint force capabilities".

Saya amat bangga bukan sahaja kerana dalam tempoh hampir 2 minggu ATM telah berjaya melaksanakan bukan satu, tetapi tiga jenis operasi yang berbeza , di lokasi-lokasi yang berlainan tetapi pada masa yang hampir sama. Saya juga bangga di atas keperihatinan seorang blogger luar negara yang berjaya merakam dan mengulas secara terpeinci mengenai keupayaan luar biasa yang dipamirkan oleh ATM. Itulah ironinya!! Kita sering tidak sedar atau "take for granted" apa yang kita mampu lakukan sehinggalah kita disedarkan oleh orang lain akan potensi yang kita milikki.

Pihak-pihak atasan di Kementah/ATM dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak seharusnya terlepas pandang atau menolak ke tepi pandangan/ulasan oleh blogger berkenaan seperti berikut,

" Headlines scored by ATM warfighters ... point to the Malaysians' ability to plan, execute and support complex, multi Service operations, in different theatres and time zones, at the same time. Ops Fajar and Ops Pyramid are likely to provide discussion points for staff level presentations for years to come ...."

"Post Mortem" ke atas pelaksanaan Op Fajar dan Op Piramid perlu dilakukan oleh pihak-pihak tersebut untuk tujuan penambah baikkan operasi-operasi sama yang mungkin perlu dilaksanakan pada masa hadapan.

Sunday, February 13, 2011

"MALBATT 3"

Kontinjen MALBATT 3 telah pun bertolak ke Lebanon pada 28 Jan 2011 yang lalu. Ini bukan satu berita baru kerana mengikut jadual “tour of duty”nya, setiap sembilan bulan dan selagi khidmat ATM masih diperlukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , Malaysia akan terus menghantar kontinjen tenteranya ke Lebanon.
Apa yang saya anggap berita ialah mengenai permintaan PBB supaya Malaysia menambahkan seramai 210 lagi anggota kepada kekuatan yang sedia ada. Walau bagaimanapun, oleh kerana kerajaan telah terlebih dahulu membuat keputusan untuk menambahkan seramai 100 anggota , permintaan oleh PBB itu mungkin tidak dapat dipenuhi. Apa pun, kekuatan MALBATT 3 kini adalah seramai 540 orang.
Permintaan seumpama ini bukanlah sesuatu yang baru kepada Malaysia. Di mana sekalipun ATM di hantar untuk berkhidmat di bawah panji-panji PBB untuk misi-misi pengaman, permintaan sebegini sering kali kita terima, baik daripada PBB mahupun oleh daripada negara tuan rumah.
Itulah uniknya ATM. Mungkin banyak faktor yang membezakan antara ATM dengan angkatan tentera negara asing. Namun, pada hemat saya, yang paling menyerlah ialah dari sudut “keberanian” dan “human relations” – hubungan sesama manusia, yang dipraktiskan oleh anggota-anggota ATM yang berkhidmat di luar negara.
Sikap “berani” kita terbukti di dalam beberapa insiden. Peristiwa anggota ATM menyelamatkan anggota-anggota tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di Bakara Market , Mogadishu, Somalia pada tahun 1993 adalah satu contoh.Dan contoh terakhir ialah bagaimana pasokan elit ATM berjaya menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel serta anak-anak kapalnya daripada menjadi tawanan kepada lanun Somalia.
Manakala, dari segi penggunaan pendekatan “human relations” yang digabung dengan pengamalan operasi gerak saraf dan jiwa murni bukan sahaja mampu mendekatkan anggota-anggota ATM dengan rakyat setempat malah berjaya memenangi hati dan jiwa mereka, yang secara langsung dapat memudahkan tugas-tugas operasi yang dijalankan.
Operasi-operasi di Lebanon dan beberapa operasi lain di luar negara yang melibatkan anggota-anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM adalah satu platform untuk kita menguji akan keberkesanan “operasi bersama” (joint operation). Dengan turut sertanya trup daripada Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei (ABDB) pula ia telah membuka peluang untuk anggota-anggota MALBATT 3 berlatih dalam konteks operasi gabungan bersama (joint combined operation) - gabung (ATM/ABDB) bersama (TD/TLDM/TUDM).

Friday, February 11, 2011

"OP PIRAMID": USAHA MENGUJI DASAR PERTAHANAN MENYELURUH

Segala-galanya telah berakhir. Dalam tempoh lebih kurang lima hari sahaja kita telah berjaya memindahkan beribu-ribu rakyat Malaysia, khasnya penuntut-penuntut kita daripada Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

Banyak faktor yang menyokong kejayaan Op Piramid ini. Namun, pada hemat saya kemampuan kerajaan menggerakkan aset-aset negara membolehkan operasi ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Saya petik dua pandangan mengenai perkara ini:

"This is a national effort under the principle of total defence. We are able to deploy our national assets from both the private and public sector under the co-ordination and supervision of the Government to get the students out of Eygpt". (PM DS Mohd Najib Razak)

"Ops Pyramid demonstrates the ability of the Malaysian authorities to rapidly plan, mobilise and deploy civil-military resources for a national effort, at short time, with no rehearsal and at a long range". (Blogger Senang Diri)

Pengatur gerakkan sumber-sumber negara (awam dan swasta) adalah merupakan sebahagian daripada faktor yang diperlukan untuk merealisasikan "Total Defence" (Pertahanan Menyeluruh -HANRUH). Dalam konteks ini, keupayaan negara menggerakkan sebanyak 3 buah pesawat C130 TUDM, dua buah pesawat 747 MAS dan sebuah pesawat A330 AirAsia serta kapal MV Bunga Mas 5 milik MISC untuk memindahkan rakyat Malaysia daripada Mesir ke Jeddah adalah satu keputusan yang amat baik. Penghantaran mereka pulang ke Malaysia adalah menjadi perkara kedua dan kurang relevan kerana mereka sudah terselamat daripada keadaan "anarkik" di Mesir.


"Total Defence" yang dipraktiskan oleh banyak negara termasuk Singapura menuntut daripada setiap sektor masyarakat untuk memperteguh ketahanan nasional bagi pertahanan negara. "Total defence" juga memperuntukan tindak balas secara komprehensif dan sepadu bagi menghadapi apa juga bentuk cabaran dan ancaman khasnya terhadap negara. Selain pertahanan ketenteraan, "total defence" turut mencakupi elemen-elemen pertahanan yang lain seperti psikologi, sosial, ekonomi dan sivil.HANRUH yang menjadi sebahagian dari Dasar Pertahanan Negara turut mengambil kira faktor-faktor tersebut.

'Op Piramid' seperti kata YAB PM adalah satu usaha di bawah prinsip "total defence".Walaupun, tidak sepenuhnya menterjemahkan "total defence" sebagaimana yang sepatutnya, setidak-tidaknya kita telah bergerak satu langkah ke hadapan ke arah mencapai matlamat tersebut. Paling penting pada hemat saya, negara sudah memilikki satu "model", satu pendekatan yang boleh diguna pakai untuk tujuan misi menyelamat/evakuasi pada skala besar di masa-masa kaan datang.