Sunday, May 29, 2011

MALAYSIA TAWAR KERJASAMA PENGELUARAN SENAPANG M4 KEPADA INDONESIA DAN THAILAND

MALAYSIA TAWAR KERJASAMA PENGELUARAN SENAPANG M4
KEPADA INDONESIA DAN THAILAND
Malaysia telah menawarkan kerjasama bagi pengeluaran senapang jenis M4 kepada Indonesia dan Thailand. Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Zahidi Hamidi kerjasama tersebut boleh dilaksanakan dalam bentuk pemilikan saham bersama ataupun dalam bentuk yang lain, termasuk memberikan hak kepada Indonesia dan Thailand untuk mengeluarkan komponen kepada senapang berkenaan. Bahkan, menurut maklumat yang diperolehi, salah satu komponen iaitu picu senapang bakal dikeluarkan oleh Indonesia.
Malaysia sedang dalam proses menggantikan senapang jenis M16 kepada M4. Buat masa ini syarikat tempatan yang diberi lesen oleh Syarikat Colt , pengeluar asal senjata berkenaan di Amerika Syarikat sudahpun memulakan pengeluaran pertama senapang M4 dan dijangka sebanyak 20,000 laras boleh disiapkan pada akhir tahun ini untuk kegunaan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kerjasama yang ditawarkan oleh Malaysia kepada Indonesia dan Thailand dalam pembuatan/pengeluaran senapang M4 ini merupakan langkah pertama ke arah merealisasikan pelaksanaan Kolaborasi Industri Pertahanan ASEAN (ASEAN Defence Industry Collaboration –ADIC) sebagaimana yang disepakati oleh kesemua Menteri Pertahanan ASEAN sewaktu mesyuarat ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) di Jakarta awal bulan Mei lalu.
Sekiranya tawaran Malaysia ini diterima oleh kedua buah negara berkenaan, kerjasama ini bakal menjanjikan pulangan ke atas pelaburan (return on investment) yang amat memberangsangkan kepada negara –negara peserta. Secara anggaran kasar, Malaysia memerlukan lebih kurang 100,000 laras , manakala Thailand memerlukan sekitar 300,000 laras dan Indonesia mungkin memerlukan jumlah yang lebih daripada Thailand. Seandainya timbul keperluan untuk menggantikan senjata M16 dengan M4 di seluruh ASEAN, anggran kasar yang diperlukan mungkin melebihi 1 juta laras.
Dilihat secara menyeluruh, Kolaborasi Industri Pertahanan ASEAN ini boleh disifatkan sebagai satu “platform” yang mampu menyumbang kepada keupayaan pertahanan ASEAN selain membantu mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran dan pengeluaran negara-negara luar. Menurut Datuk Seri Dr Zahid, pada masa ini negara-negara ASEAN membelanjakan AS$25 billion (RM 76 billion) setahun untuk membeli peralatan pertahanan dari negara-negara pembekal dari luar rantau. Dengan adanya kolaborasi ini serta meningkatnya industri pertahanan ASEAN, kos perbelanjaan tersebut dapat dikurangkan separuh menjadi AS$12.5 billion (RM38 billion) setahun.

Wednesday, May 25, 2011

MALAYSIA BAKAL HANTAR PASUKAN KEAMANAN KE BAHRAIN?

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan bahawa Malaysia bersedia menghantar pasukan keamanan ke Bahrain jika diminta berbuat demikian oleh kepimpinan negara berkenaan. Pasukan pengaman itu, tambah Perdana Menteri akan membantu misi sah tentera Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council-GCC) yang melaksanakan peranan penting dalam memastikan kejayaan dialog nasional di Bahrain. Datuk Seri Najib berkata demikian selepas menghadap Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud pada 14 Mei 2011 lalu.

Seorang wartawan dan penganalisi pertahanan, Dzirhan Mahadzir yang memetik laporan Bernama mengenai pengumuman Perdana Menteri itu mengulas di dalam blognya bahawa ia merupakan satu idea paling buruk bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beberapa bloggers yang mengulas pandangan beliau turut bersetuju dengan pendapat tersebut. Antaranya berpendapat bahawa penyertaan pasukan pengaman dari Malaysia akan memberikan isyarat yang salah kepada dunia bahawa Malaysia menyokong dan membantu usaha oleh sebuah negara "penindas" (mungkin merujuk kepada Arab Saudi) demi menjaga keselamatan negaranya sendiri. Seorang pengulas yang lain pula berpendapat bahawa penyertaan Malaysia bakal menjejaskan kedudukan serta imejnya sebagai sebuah negara yang mempraktikkan dasar "berkecuali" dan tidak campor tangan di dalam urusan dalaman sebuah negara lain. Manakala seorang pengulas lain berpendapat tanpa adanya mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyertaan Malaysia di dalam misi pengamanan itu boleh dianggap sebagai "tidak sah".

Saya bersetuju dengan sebahagian dari pendapaat yang diberikan khususnya tentang peranan yang dimainkan oleh Arab Saudi. Pada pandangan saya, Arab Saudi telah mengambil tindakan secara "pre-emptive" untuk memastikan tidak berlakunya beberapa kemungkinan berikut. Pertama, mengelakkan dari meletusnya pergolakkan politik yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan Bahrain sepertimana yang telah berlaku di Mesir dan Tunisia dan sedang berlaku di Libya, Yemen dan Maghribi. Pergolakan politik yang berlaku di Bahrain akan turut menjejaskan keselamatan Arab Saudi kerana jalan keluar yang menghubungkan Baahrain dengan dunia luar hanyalah melalui Arab Saudi.

Kedua, kemelut politik di Bahrain juga, mungkin pada tanggapan Arab Saudi boleh menjejaskan kestabilan politik di 5 buah negara lain yang menganggotai GCC kerana ia boleh merangsang tindakan yang sama diambil oleh pihak-pihak yang berkepentingan di dalam negera-negera berkenaan. Kemungkinan ini tidak boleh ditolak kerana berdasarkan laporan oleh Center for Strategic and International Studies (CSIS) bertarikh Mac 2011, negara-negara GCC begitu terdedah lemah (vulnerable) kepada banyak ancaman dalam dan luaran termasuk ancaman terrorisme, percambahan aktiviti peluru berpandu Iran dan ketidak stabilan di Iraq.

Ketiga, tindakan secara "pre-emtive" oleh Arab Saudi ini juga dipercayai bagi mengelakkan campur tangan oleh negara-negara Barat khasnya Amerika Syarikat, Britain dan Peranchis. Campur tangan negara-negara berkenaan termasuk oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) contohnya di Libya mungkin membimbangkan Arab Saudi .

Akhirnya pada hemat saya, keputusan sama ada Malaysia akan menghantar pasukan keamanan ataupun sebaliknya ke Bahrain adalah merupakan satu keputusan politik. Namun, saya amat yakin bahawa sebelum Perdana Menteri berbuat demikian, beliau sudah tentu terlebih dahulu mendapatkan taklimat dan pandangan daripada penasihat-penasihat daripada Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan dan ATM.

Saturday, May 21, 2011

MENTERI PERTAHANAN ASEAN METERAI KERJASAMA DALAM LIMA BIDANG KESELAMATAN SERANTAU

Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ASEAN Defence Ministers'Meeting -ADMM)yang berlangsung di Jakarta pada 19 Mei 2011 telah memeterai perjanjian untuk meningkatkan kerjasama dalam lima bidang keselamatan bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman dan rintangan baik di peringkat serantau mahupun di peringkat global.

Lima bidang yang berkenaan adalah keselamatan maritim, operasi pemantauan keamanan (peace keeping operations-PKO), peningkatan dalam bidang industri pertahanan, operasi bantuan bencana dan kemanusiaan (disaster relief and humanitarian operations) serta program kerja tiga-tahunan Menteri-Menteri Pertahanan.

Bagi memudahkan urusan kerjasama dalam bidang operasi pemantauan keamanan, ADMM sepakat membentuk Jaringan Pusat-pusat Keamanan ASEAN(ASEAN Peacekeeping Centres Network). Dalam konteks industri pertahanan ASEAN pula, Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menggesa anggota ASEAN agar meningkatkan kekuatan industri dan teknologi pertahanan untuk mengembangkan kolaborasi industri pertahanan se Asia Tenggara atau ASEAN Defence Industry Collaboration (ADIC).Menurut Datuk Seri Zahid lagi, kolaborasi produk pertahanan akan berjaya jika ada perpindahan teknologi serta penyediaan "off set" antara negara ASEAN.

Apa yang telah disepakati oleh para menteri pertahanan ASEAN di dalam ADMM berkenaan adalah merupakan satu langkah ke hadapan bagi memantapkan lagi permaufakatan dan kerjasama di dalam bidang pertahanan dan keselamatan di kalangan negara-negara ASEAN.

Sementara operasi keselamatan maritim dan operasi bantuan bencana dan bantuan kemanusiaan adalah bidang kerjasama yang telah dilaksanakan sama ada secara berkumpulan atau secara keseluruhan oleh anggota-anggota ASEAN, apa yang paling signifikan di dalam pemeteraian perjanjian ini ialah pembentukan ASEAN Peacekeeping Centres Network dan ADIC.

Pembentukan ASEAN Peacekeeping Centres Network, sebagaimana penjelasan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Purnomo Yusgiantoro, adalah bagi memudahkan kerjasama bagi menghasilkan perdamaian antara semua anggota ASEAN. Kita sedia maklum bahawa banyak masalah dua hala khasnya mengenai tuntutan bertindih adalah merupakan faktor "duri dalam daging" yang kerap kali mengeruhkan hubungan antara negara.Dengan adanya jaringan seumpama ini, negara-negara yang menghadapi masalah boleh melantik sebuah negara ASEAN yang lain untuk menjadi "orang ketiga" bagi menyelesaikan isu yang berkaitan di meja rundingan, sepertimana yang dilakukan oleh Indonesia di dalam isu tuntutan oleh Thailand dan Kemboja.

Penubuhan ADIC disifatkan sebagai kemuncak kepada kerjasama di dalam bidang industri pertahanan. Ia memerlukan political will di kalangan pemimpin negara-negara ASEAN dan juga masa yang agak lama untuk direalisasikan. Keperluan pertama adalah bagi setiap negara ASEAN untuk meningkatkan kekuatan industri dan teknologi pertahanan negara masing-masing.Hanya selepas kekuatan ini dapat dihasilkan barulah ia dikembangkan untuk mewujudkan satu kesepakatan (collaboration) di kalangan negara-negara ahli.

Sunday, May 15, 2011

"TIDAK ADA PASOKAN TENTERA LUAR YANG MENGANCAM NEGARA KITA"

"Tidak ada pasokan tentera luar yang mengancam negara kita". Demikian jelas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sewaktu diwawancara oleh wartawan The Sun pada 7 Mei 2011 lalu. Tambah beliau, apa yang kita hadapi sekarang adalah musuh daripada dalam negeri, contohnya tidak adanya perpaduan di kalangan rakyak ataupun keengganan sebahagian daripada rakyat untuk mengikut arus perdana majoriti rakyat Malaysia. Unsur-unsur seperti ini, jelas Datuk Seri Dr Zahid, merupakan ancaman yang boleh menghancurkan masyarakat pelbagai agama, pelbagai bangsa dan pelbagai budaya yang telah dipupuk oleh para pemimpin sebelum ini.

Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Pertahanan mengenai tidak wujudnya ancaman luaran terhadap negara ini. Perlu diakui bahawa Malaysia menghadapi masalah dua hala dengan hampir keseluruhan negara yang berkongsi wilayah sempadan dengannya. Masalah seperti tuntutan bertindih dengan negara-negara jiran boleh mencetuskan ketegangan yang berkesudahan dengan ancaman ketenteraan kepada negara seandainya gagal ditangani dengan baik. Namun, dengan menggunakan pendekatan melalui meja rundingan, kita bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah-masalah tersebut secara diplomatik tetapi yang lebih penting dapat mengelakkan negara daripada bermusuhan dengan jiran-jirannya dan seterusnya menghindarkan negara daripada menghadapi ancaman luaran.

Penjelasan Menteri Pertahanan itu juga konsisten dengan apa yang telah diperakukan oleh Kementerian Pertahanan/Angkatan Tentera Malaysia menerusi Kertas Puteh mengenai Dasar Pewrtahanan Negara Malaysia (DPNM). Bab 2 kepada DPNM bertajuk "Perspektif Strategik Serantau" tidak memberi fokus kepada sebuah atau beberapa buah negara sebagai musuh kita. Sebaliknya, DPNM telah memberikan gambaran tentang perkembangan politik dan strategik yang berlaku di rantau Asia secara keseluruhannya, meliputi contohnya, ketegangan antara Korea Utara/Korea Selatan, krisis antara India/Pakistan dan antara Republik Rakyat China/Taiwan serta ancaman terrorisme.

Pandangan DPNM mengenai keadaan persekitaran strategik serantau ini mencermikan wujudnya perkongsian dan persamaan dari segi perspektif keselamatan diantara Malaysia dengan negara-negara serantau. Kepentingan strategik Malaysia dilihat hampir selari dengan kepentingan strategik negara-negara jirannya. Dalam keadaan yang sedemikian, boleh dirumuskan bahawa kedudukan keselamatan Malaysia dianggap sebagai "indivisible" dengan kedudukan keselamatan negara-negara jiran yang lain. Apa juga bentuk ancaman yang dihadapi oleh ASEAN secara kolektif atau ke atas salah sebuah negara ASEAN boleh dianggap sebagai ancaman kepada Malaysia.

Rumusannya, bagi mengelakkan lahirnya musuh di kalangan negara-negara ASEAN, kerjasama serantau (regional cooperation) perlulah diwujudkan manakala ketahanan serantau (regional resilience) pula perlu dibina dan dipupuk bagi menangkis apa juga bentuk ancaman daripada luar rantau.