PEGAWAI BELOT KENA TINDAKAN "ISA"
Keputusan KDN untuk mengenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri {ISA) terhadap kakitangan Jabatan Imigresen dan orang tengah yang ditahan kerana terbabit rasuah dan pemalsuan dokumen di pintu sempadan negara sehingga membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) bolos ke negara ini adalah sesuatu yang amat wajar kerana ia bersangkut paut dengan keselamatan negara.
Tindakan KDN itu adalah merupakan satu "punitive action" dan "deterrence" bagi mengekang dan mencegah aktiviti sedemikian dari terus berleluasa. Ini kerana sungguhpun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)berjaya membongkar aktiviti berkenaan ia hanya merupakan "tip of the iceberg" . Dipercayai terdapat aktiviti-aktiviti yang serupa sedang berlaku di beberapa pintu masuk daratan dan lautan ke negara ini. Permintaan Ketua Pengarah Imigresen supaya SPRM menempatkan pegawai-pegawainya sebagai pengitip di "kawasan panas" yang dikenal pasti bagi membanteras gejala rasuah di kalangan kakitangan Imigresen dapat menyokong tanggapan ini.
Kita tidak pasti berapa ramai PATI yang telah menetap secara haram atau keluar masuk secara bebas menerusi urusan ini ke negara kita. Mungkin jumlahnya adalah lebih ramai dari mereka yang masuk secara sah ke negara ini. Anggapan ini mungkin benar kerana sebagai contoh, kegiatan seumpama ini telah berterusan selama 15 tahun di Jeti Penumpang Pulau Ketam tanpa dapat dihidu atau dikesan oleh sebarang agensi penguatkuasa.
Dorongan dan insentif kewangan yang besar jumlahnya telah mengaburi mata serta tahap kewarasan pemikiran mereka yang terlibat. Perlakuan mereka telah memperlekehkan undang-undang serta menggadaikan maruah, keselamatan dan kedaulatan negara. Sewajarnyalah mereka diabelkan sebagai pembelot dan pengkhianat negara.
Apabila KDN bertindak untuk mengambil tindakan atas asas keselamatan kita perlu sedar bahawa PATI yang masuk ke Malaysia terdiri daripada berbagai jenis dan ciri manusia. Tujuan kemasukan mereka juga berbeza. Sebahagian besarnya masuk untuk mencari rezeki yang halal. Namun, terdapat di kalangan mereka penjenayah/bekas penjenayah yang dikehendakki (wanted) oleh pemerintah negara asal mereka lalu lari ke negara ini untuk bersembunyi dan pada masa yang sama melakukan kegiatan jenayah mereka. Mungkin juga terdapat di kalangan mereka anggota-anggota militan yang ditugaskan untuk merekrut dan melatih kader-kader baru daripada negara ini untuk merealisasikan pembentukan "Darul Islam" di rantau ini sepertimana yang pernah berlaku sebelumnya.Atau mungkin juga terdapat guru dan pengikut ajaran sesat yang ingin mengembangkan ajaran songsang mereka. Dan mungkin juga terdapat di kalangan mereka anggota-anggota/bekas anggota-anggota pasokan keselamatan yang ditugaskan untuk tujuan pengutipan maklumat.
Sekiranya tanggapan ini benar, kumpulan-kumpulan ini berpotensi untuk mencorakkan iklim keselamatan dalam negeri kepada satu situasi yang membimbangkan. Malah pada ketika ini pun, meningkatnya kadar atau indeks jenayah sebahagian besarnya adalah berpunca dari kehadiran mereka ini. Apa yang paling membimbangkan ialah sekiranya meletus ketegangan dan konflik antara Malaysia dan negara asal PATI yang berpunca dari masalah dua hala, kumpulan PATI dan juga pendatang secara sah boleh dijadikan sebagai "fifth columnist" untuk menyokong dan membantu negara asal mereka daripada dalam negara ini sendiri. Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan memandangkan semangat nasionalisme mereka yang kental dan tidak berbelah bahagi. Berlakunya konflik antara kedua negara ini juga tidak boleh dipandang rengan kerana "there is no permanent friend but permanent interest".
Isu-isu keselamatan buka semata-mata menjadi tanggungjawab pasokan keselamatan sahaja. Setiap seorang dari kita turut bertanggungjawab. Sehubungan itu, kita perlu sentiasa menyematkan perasaan cemburu, perihatin dan waspada terhadap setiap aktiviti dan perlakuan pendatang-pendatang asing.
Thursday, October 21, 2010
PEGAWAI BELOT KENA TINDAKAN ISA
Posted by ben sungib at 9:30 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
enjoy reading your blog,its a way to appreciate our ATM coz people never open their eyes about us and always judge before, hope don't stop and write again and again....proud as an ARMY...
Post a Comment