Saturday, January 22, 2011

SYABAS TLDM, TAHNIAH

SYABAS TLDM,TAHNIAH ATM

Syabas TLDM di atas kejayaan Pasokan Khas Lautnya (Paskal) membebaskan sebuah kapal tangki negara MT Laurel berserta 23 orang anak kapalnya daripada tawanan lanun Somalia di perairan Teluk Aden, dua hari yang lalu.Walaupun, contohnya akhbar The Star hari Sabtu memberikan liputan yang relatif meluas kepada misi menyelamat oleh tentera Korea Selatan selang sehari selepas kejayaan Paskal, kerana liputan beritanya dipetik oleh agensi berita antarabangsa (AFP), namun saya berasa cukup bangga dengan kejayaa Paskal.

Kita patut berasa kagum dengan kejayaan Paskal kerana kemampuannya melaksanakan misi tersebut "in a record breaking time" - iaitu lebih kurang dua jam selepas MT Laurel ditawan. Setelah meneliti laporan dua buah akhbar tempatan saya dapati bahawa kejayaan ini dicapai kerana adanya beberapa faktor berikut. Pertama, adanya faktor "timeliness" - semua yang terlibat tidak banyak membuang masa, sama ada menanti untuk menerima arahan daripada pihak yang lebih tinggi atau menanti tuntutan daripada pihak lanun. Sejurus selepas diserang oleh lanun, anak-anak kapal MT Laurel telah mengaktifkan Sistem Amaran Keselamatan kapal (SSAS).Sebaik menerima panggilan kecemasan tersebut, Pemeritah Paskal yang berada di kapal MV Bunga Mas 5 terus mengarahkan trupnya untuk bertindak. Kedua, anak-anak kapal MT Laurel faham dan patuh kepada arahan tetap iaitu mengaktifkan SSAS, berkumpul dan bersembunyi, memadamkan lampu dan mematikan injin kapal. Ini merumitkan pihak lanun untuk melakukan tindakan-tindakan selanjutnya. Ketiga, adanya ko-ordinasi diantara pemerintah Paskal di MV Bunga Mas 5 dengan anggota-anggotanya yang berada di dalam dua buah bot untuk melakukan operasi menyelamat dan juruterbang helikopter Fennec yang memberikan bantuan tembakan dan panduan arah. Keempat, komunikasi yang berterusan diantara ketiga-tiga elemen tersebut di atas. Kelima, penggunaan taktik dan prinsip peperangan yang betul antaranya, "concealment" - iaitu memulakan operasi menyelamat di waktu dinihari (suasana gelap). Tindakan seumpama ini boleh menimbulkan kejutan (surprise) kepada pihak lanun, dan juga penggunaan kuasa tembak (fire power)yang lebih superior daripada pihak musuh melalui tembakan bantuan daripada helikopter Fennec dan MV Bunga Mas 5.

Pada hemat saya operasi menyelamat yang dilaksanakan oleh Paskal boleh disifatkan sebagai satu "calculated risk" kerana mereka banyak tidak tahu mengenai pihak musuh. Namun, menerusi latihan-latihan yang telah dilalui dan sifat keberanian mereka telah berjaya dengan cemerlang.

Paskal bukan sahaja telah menyelamatkan harta negara dan muatannya yang bernilai lebih kurang RM 30 juta, tetapi yang lebih penting mereka telah berjaya menyelamatkan nyawa 23 orang anak-anak kapal MT Laurel.Saya pasti sekiranya berita ini berjaya dipetik oleh agensi-agensi berita antarabangsa, kejayaan Paskal bukan sahaja akan menjulang nama Malaysia tetapi juga akan menaikkan imej ATM secara keseluruhannya dan TLDM khasnya.

Syabas TLDM dan tahniah ATM!!!

2 comments:

GaGaK said...

En Ben saya rasa satu faktor lagi ialah kapal Bunga Laurel tu design nya sama dengan Bunga Mas Lima.

PASKAL dan Grup Gerak Khas sudah berlatih berbulan2 di atas kapal ni. Saya rasa pelan atur ruang Bunga Laurel mereka dah hafal.

canang said...

Mungkin kita boleh gunakan operasi menyelamat tebusan pada masa akan datang in real time seperti yang pernah ggk laksanakan melalui ex- thunderbolt agar kita dapat melihat dan dapat dijadikan bukti kejadian sebenar yang berlaku sepanjang perlaksanaan misi tersebut. RUJUK EX-THUNDERBOLT GGK baru2 ini dalam majalah perajurit.