Wednesday, March 16, 2011

"BERSEDIAKAH MALAYSIA?"

Saya terpanggil untuk mengulas rencana oleh Noraini Abd Razak (pengarang@utusan.com.my) yang disiarkan melalui blog Minda Pertahanan. Rasa saya sudah ramai yang menulis mengenai perkara ini. Walaupun, menggunakan tajuk-tajuk yang berbeza isu yang cuba diketengahkan oleh para penulis ini menjurus kepada persoalan mengenai “military balance” antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Singapura (ATS) dan kesan dari ketidak seimbangan kekuatan tentera kedua buah negara itu ke atas Malaysia sekiranya berlaku peperangan terbuka diantara kedua dua negara. Noraini Abd Razak menerusi rencananya bertajuk “Bersediakah Malaysia?” tidak terkecuali dari membincangkan perkara yang sama.

Saya kurang faham rasional disebalik keghairahan pemerhati-pemerhati pertahanan dan politik di negara ini yang gemar membuat perbandingan sedemikian seolah-olah mahu menjadikan ATS sebagai tanda aras (benchmark) kepada pembangunan ATM. Jika inilah yang bermain difikiran para pengkritik berkenaan, secara kita sedar ataupun tidak, kita akan menggalakkan kepada berlakunya “perlumbaan kuasa” diantara kedua buah negara. Menteri Pertahahan pernah menyatakan beberapa bulan lalu bahawa apa yang dilakukan dewasa ini adalah semata-mata bertujuan untuk pembangunan dan pemodenan ATM, jauh sekali dari cuba untuk mencetuskan “perlumbaan kuasa” di rantau ini. Manakala, beberapa minggu lalu melalui rencananya bertajuk “Rahsia Negara Tanggungjawab Bersama” Panglima Angkatan Tentera (PAT) turut menekankan bahawa pembangunan dan pemodenan ATM kini adalah berdasarkan kepada keupayaan (capability-based) dan tidak lagi berdasarkan kepada ancaman (threat-based) kerana dengan cara ini ATM mampu untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi ancaman yang lebih meluas (multi spectrum) dengan kos yang lebih rendah.

Cara bagaimana Singapura membangunkan angkatan tenteranya adalah menjadi urusannya dan begitu juga dengan Malaysia. Masing-masing negara mempunyai asas pertimbangan yang difikirkan wajar oleh mereka untuk berbuat sedemikian. Tentunya pembangunan angkatan tentera oleh kedua negara itu antara lainnya didasarkan kepada persepsi ancaman oleh para pemimpin negara masing-masing.

Jika kita berpeluang membaca Kertas Putih mengenai Dasar Pertahanan Singapura sudah pasti kita akan faham tentang latarbelakang wujudnya teori “mentaliti terkepong” (siege mentality) yang mendasari pembangunan ATS yang diibaratkan sebagai “poisonous shrimp” oleh para pemimpin mereka. Persepsi ancaman kita berbeza dengan Singapura. Sila rujuk Bab 2 (mengenai Perspektif Strategik Serantau) dan seterusnya keseluruhan isi kandungan kepada Kertas Putih mengenai Dasar Pertahanan Negara Malaysia dan kita akan faham pendekatan yang kita ambil dalam urusan pertahanan negara.

Faktor angkatan tentera adalah salah satu faktor yang perlu dikaji dalam membuat perkiraan (appreciation) tentang kekuatan atau kelemahan sesebuah negara. Dalam bidang strategi ketenteraan terdapat 6 atau 7 faktor lain yang perlu diambil kira. Namun, jika sekiranya faktor angkatan tentera diberikan keutamaan, “military balance” atau “relative strength” antara negara yang dibuat kajian bukanlah sesuatu yang muktamad. Ini merupakan faktor-faktor “tangible” yang boleh ditimbang dan diukur.Tetapi kita juga perlu ambil kira faktor-faktor “intangible’ yang pihak musuh tidak tahu mengenai kita seperti ketahanan mental dan dayatahan fizikal, cara kita berlatih, strategi, tektik dan teknik perang yang kita milikki.

Mengenai persoalah sama ada “Bersediakah Malaysia?”, saya amat pasti dan yakin bahawa kita sudah bersedia, bukan untuk berperang (atau menyerang) tetapi untuk mempertahankan negara apabila diserang. Adalah menjadi tugas utama angkatan tentera berlatih untuk berperang (train for war)sewaktu negara berada dalam keadaan aman. Malangnya, kesiapsiagaan ATM ini tidak dapat kita uji keberkesanannya kerana perang “is a deadly game”.

Pada 6 Mac 2011 yang lalu, sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat (HUT TD) ke 78, satu demonstrasi besar-besaran yang menggabungkan hampir semua pasokan di bawah TD telah berlangsung di Daratan Merdeka. Menteri Pertahanan menyatakan demonstrasi itu dibuat bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat aset yang dimilikki oleh TD. Saya beranggapan ianya lebih dari itu. Demonstrasi itu dilaksanakan untuk mempamirkan kekuatan dan kesiap siagaan anggota dan peralatan perang (men and war machines) TD.Pada masa yang sama, saya percaya demonstrasi itu dibuat sebagai satu langkah untuk meningkatkan keyakinan rakyat kepada angkatan tentera.

Yakinilah diri anda bahawa “ATM Boleh!”

Sunday, March 13, 2011

ANGGOTA TENTERA BOLEH SERTAI PDRM

NGGOTA TENTERA BOLEH SERTAI PDRM
Mulai tahun ini anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan selepas 21 tahun boleh menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) . Demikian menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zaid Hamidi, pada awal Mac lalu. Tambah beliau, setakat ini , 400 permohonan telah diterima daripada bekas anggota ATM untuk menyertai program tersebut. Mereka yang berjaya diserap ke jawatan dalam PDRM itu akan memperoleh pendapatan mengikut skim gaji polis.
Proses penyerapan jawataan ini dirangka hasil kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan menerusi program transformasi kerajaan. Sebelum ini, menerusi program yang sama, pihak PDRM telah bersetuju untuk menempatkan seramai 1000 bakal anggota polis di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dan seramai 500 lagi di Pusat Latihan Rekrut (Pularek) KD Sultan Ismail, Tg Pengelih, Johor untuk menjalani latihan asas kepolisian.
Ini merupakan satu berita baik kepada bekas anggota-anggota ATM yang berminat untuk terus berkhidmat di dalam pasokan keselamatan. Rata-rata mereka yang telah berkhidmat selama 21 tahun di dalam ATM berada di dalam lingkungan umur antara lewat 30 tahun dan awal 40 tahun. Mereka masih muda dan mempunyai masa yang panjang untuk terus bekerja bagi menyara dan membangunkan keluarga masing-masing. Tawaran yang dibuat oleh PDRM kepada bekas anggota-anggota ATM ini adalah merupakan satu peluang yang dapat memberikan jaminan ekonomi kepada mereka.

Tuesday, March 8, 2011

PTD:"JANGAN HERET TENTERA KE KANCAH POLITIK"

Demikian tegas Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk seri Zuklifeli Mohd Zain selepas menghadiri perbarisan sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat (HUT TD) ke 78 pada 1 Mac 2011 yang lalu.

Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengulas mengenai kenyataan PTD tersebut.Pada hemat saya, tidak ada hari yang lebih sesuai selain pada HUT TD untuk PTD memebri peringatan semula kepada masyarakat khasnya kumpulan-kumpulan yang mempunyai kepentingan termasuk ahli-ahli politik yang cuba mendaapatkan "political mileage" melalui kenyataan-kenyataan bersifat melampau terhadap ATM serta mereka yang sentiasa mempunyai anggapan yang salah,mengenai peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada ATM khasnya dan ketiga-tiga perkhidmatan termasuk TD amnya.

Kenyataan PTD bahawa tentera sentiasa bersifat berkecuali dan hanya bertanggungjawab menjaga keamanan dan kedaulatan negara adalah merupakan ciri dan tanggungjawab utama angkatan tentera.Ia tidak berubah dari dahulu, kini dan selamanya. Untuk tujuan itu, sebagaiamana jelas PTD, tentera tidak campur tangan langsung dalam urusan politik negara, namun menyokong sepenuhnya kerajaan memerintah yang dipilih rakyat.

Walaupun, itu merupakan mandat yang diberikan kepada angkatan tentera, ini tidak bermakna tentera tidak ambil tahu atau peka mengenai perkembangan politik tanah air mahupun antarabangsa. Sebaliknya, angkatan tentera tetap mengikuti setiap perkembangan politik yang berlaku untu dijadikan sebagai pengetahuan dan kadangkala untuk memberikan pandangan dan pendapat apabila diperlukan.

Anggota tentera juga mempunyai hak untuk bersuara di dalam politik, iaitu terhad kepada proses pembuangan undi ketika pilihanraya umum atau pilihanraya kecil diadakan, dan tidak lebih dari itu!

Peringatan sepertimana disampaikan oleh PTD sewajarnya dilakukan secara berkala oleh pucuk pimpinan ATM bagi tujuan menyuntik keyakinan masyarakat terhadap angkatan tentera. Sifat berkecuali ATM dan kedudukannya sebagai "apolitical entity" telah terbukti sewaktu meletusnya insiden 13 Mei 1969 .Angkatan tentera tidak mengambil kesempatan dari berlakunya kemelut politik itu untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan. Malah, sewaktu diberi mandat oleh kerajaan sivil untuk mentadbir negara di bawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), angkatan tentera tidak mengisytiharkan pemerintahan tentera tetapi sebaliknya menyerahkan semula pentadbiran negara kepada kerajaan yang dipilh rakyat apabila keadaan keselamatan pulih seperti sedia kala.

Sunday, March 6, 2011

HARI TENTERA DARAT KE 78i

HARI TENTERA DARAT KE 78
Tanggal 1 Mac merupakan tarikh keramat kepada Tentera Darat (TD) Malaysia kerana pada tarikh tersebut pada tahun 1933 , TD dengan secara rasminya telah ditubuhkan. Tahun ini, genaplah umur TD 78 tahun.
Tujuh puluh lapan tahun bukanlah satu jangka masa yang lama bagi sebuah organisasi. Sebagai sebuah organisasi yang dinamik, TD harus perlu berkembang dan membangun mengikut peredaran zaman dan keperluan geo-strategik semasa untuk menjadikannya terus relevan sebagai sebuah pasokan yang menjadi tulang belakang kepada pertahanan negara. Dalam konteks ini, pengalaman yang telah dilalui sejak 78 tahun yang lalu bukan sahaja telah mendewasakan TD malahan telah menjadikannya sebagai “ a force to be reckoned with” dan setanding pula dari segi kemampuan dengan pasokan-pasokan tentera darat daripada negara-negara maju.
Sejak penubuhannya, TD telah membuat beberapa anjakan khasnya dari segi konsep peperangan. Bermula dengan penggunaan konsep peperangan menentang insurgensi (Counter Revolutionary Warfare –CRW) bagi menghadapi ancaman daripada pihak pengganas komunis di Semenanjung dan di Sarawak daripada tahun 1948 – 1960 dan 1969 -1990, TD kemudian membuat anjakan kepada penggunaan konsep Peperangan Konvensional (Conventional Warfare) apabila keadaan geo-strategik serantau dan dunia menghendakkinya berbuat sedemikian. Kini, mengambil iktibar daripada kejayaan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya di dalam peperangan di Iraq dan Afghanistan pada awal tahun 2000 menerusi pendekatan peperangan bersama (Joint Warfare ) , TD bersama-sama dengan TLDM dan TUDM turut terlibat di dalam merealsisaikan pelaksanaan konsep tersebut di dalam ATM.
Walaupun, ATM kini memberikan perhatian dan penekanan kepada konsep Peperangan Bersama, konsep CRW masih terus dikekalkan sebagai strategi terakhir untuk mempertahankan negara daripada serangan musuh. Justeru, dalam TD sama-sama terlibat di dalam menjayakan konsep Peperangan Bersama, ia perlu terus meningkatkan kepakarannya di dalam konsep CRW kerana konsep ini disifatkan sebagai aset penting yang dimilikki oleh TD.