Monday, February 14, 2011

"MALAYSIAN MILITARY OPERATIONS THAT MADE HEADLINES NEWS IN THE PAST 10 DAYS"

Isi kandungan kepada tajuk di atas yang ditulis oleh blogger Senang Diri telah menarik perhatian saya untuk mengulas. Menurut beliau, dalam tempoh 10 hari terakhir ini ATM telah berjaya melaksanakan tiga operasi penting di peringkat antarabangsa iaitu, penghantaran kontinjen MALBATT 3 ke Lebanon; operasi menyelamat MT Bunga Laurel serta anak-anak kapalnya dari menjadi tawanan lanun Somalia menerusi pelaksanaan Op Fajar, dan kejayaan melaksanakan operasi memindahkan rakyat Malaysia daripada Mesir ke Jeddah melalui Op Piramid.

Kontinjen MALBATT 3 seramai 440 anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM telah pun berlepas ke Lebanon pada 28 Jan 2011 yang lalu. Memandangkan bahawa setiap kontinjen perlu berkhidmat selama lebih kurang 9 bulan, ini bererti bahawa ATM telah pun menyumbangkan khidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menguat kuasakan keamanan di Lebanon selama hampir 3 tahun.

Dalam mengulas mengenai kejayaan ATM melaksanakan Op Fajar, blogger menyebut,

" To those who know how the ATM trains its commandos, the end result of the firefight was a foregone conclusion even before the first shot was fired. The commandoes showed tremendous fire discipline in rounding up the suspects - all 18 were captured alive. Had they wanted to, they could have easily shot and disposed of all 18 suspects on high seas..."

Mengenai Op Piramid pula, blogger yang sama telah mengulas seperti berikut'

" Ops Pyramid may be a non-combatant evacuation operation conducted under benign conditions (ie no one is shooting at your forces), but Malaysia's ability to pull it off is a noteworthy counterpoint to those who speak dismissively about its joint force capabilities".

Saya amat bangga bukan sahaja kerana dalam tempoh hampir 2 minggu ATM telah berjaya melaksanakan bukan satu, tetapi tiga jenis operasi yang berbeza , di lokasi-lokasi yang berlainan tetapi pada masa yang hampir sama. Saya juga bangga di atas keperihatinan seorang blogger luar negara yang berjaya merakam dan mengulas secara terpeinci mengenai keupayaan luar biasa yang dipamirkan oleh ATM. Itulah ironinya!! Kita sering tidak sedar atau "take for granted" apa yang kita mampu lakukan sehinggalah kita disedarkan oleh orang lain akan potensi yang kita milikki.

Pihak-pihak atasan di Kementah/ATM dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak seharusnya terlepas pandang atau menolak ke tepi pandangan/ulasan oleh blogger berkenaan seperti berikut,

" Headlines scored by ATM warfighters ... point to the Malaysians' ability to plan, execute and support complex, multi Service operations, in different theatres and time zones, at the same time. Ops Fajar and Ops Pyramid are likely to provide discussion points for staff level presentations for years to come ...."

"Post Mortem" ke atas pelaksanaan Op Fajar dan Op Piramid perlu dilakukan oleh pihak-pihak tersebut untuk tujuan penambah baikkan operasi-operasi sama yang mungkin perlu dilaksanakan pada masa hadapan.

Sunday, February 13, 2011

"MALBATT 3"

Kontinjen MALBATT 3 telah pun bertolak ke Lebanon pada 28 Jan 2011 yang lalu. Ini bukan satu berita baru kerana mengikut jadual “tour of duty”nya, setiap sembilan bulan dan selagi khidmat ATM masih diperlukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , Malaysia akan terus menghantar kontinjen tenteranya ke Lebanon.
Apa yang saya anggap berita ialah mengenai permintaan PBB supaya Malaysia menambahkan seramai 210 lagi anggota kepada kekuatan yang sedia ada. Walau bagaimanapun, oleh kerana kerajaan telah terlebih dahulu membuat keputusan untuk menambahkan seramai 100 anggota , permintaan oleh PBB itu mungkin tidak dapat dipenuhi. Apa pun, kekuatan MALBATT 3 kini adalah seramai 540 orang.
Permintaan seumpama ini bukanlah sesuatu yang baru kepada Malaysia. Di mana sekalipun ATM di hantar untuk berkhidmat di bawah panji-panji PBB untuk misi-misi pengaman, permintaan sebegini sering kali kita terima, baik daripada PBB mahupun oleh daripada negara tuan rumah.
Itulah uniknya ATM. Mungkin banyak faktor yang membezakan antara ATM dengan angkatan tentera negara asing. Namun, pada hemat saya, yang paling menyerlah ialah dari sudut “keberanian” dan “human relations” – hubungan sesama manusia, yang dipraktiskan oleh anggota-anggota ATM yang berkhidmat di luar negara.
Sikap “berani” kita terbukti di dalam beberapa insiden. Peristiwa anggota ATM menyelamatkan anggota-anggota tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di Bakara Market , Mogadishu, Somalia pada tahun 1993 adalah satu contoh.Dan contoh terakhir ialah bagaimana pasokan elit ATM berjaya menyelamatkan kapal dagang MT Bunga Laurel serta anak-anak kapalnya daripada menjadi tawanan kepada lanun Somalia.
Manakala, dari segi penggunaan pendekatan “human relations” yang digabung dengan pengamalan operasi gerak saraf dan jiwa murni bukan sahaja mampu mendekatkan anggota-anggota ATM dengan rakyat setempat malah berjaya memenangi hati dan jiwa mereka, yang secara langsung dapat memudahkan tugas-tugas operasi yang dijalankan.
Operasi-operasi di Lebanon dan beberapa operasi lain di luar negara yang melibatkan anggota-anggota daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM adalah satu platform untuk kita menguji akan keberkesanan “operasi bersama” (joint operation). Dengan turut sertanya trup daripada Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei (ABDB) pula ia telah membuka peluang untuk anggota-anggota MALBATT 3 berlatih dalam konteks operasi gabungan bersama (joint combined operation) - gabung (ATM/ABDB) bersama (TD/TLDM/TUDM).

Friday, February 11, 2011

"OP PIRAMID": USAHA MENGUJI DASAR PERTAHANAN MENYELURUH

Segala-galanya telah berakhir. Dalam tempoh lebih kurang lima hari sahaja kita telah berjaya memindahkan beribu-ribu rakyat Malaysia, khasnya penuntut-penuntut kita daripada Mesir ke Jeddah, Arab Saudi.

Banyak faktor yang menyokong kejayaan Op Piramid ini. Namun, pada hemat saya kemampuan kerajaan menggerakkan aset-aset negara membolehkan operasi ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Saya petik dua pandangan mengenai perkara ini:

"This is a national effort under the principle of total defence. We are able to deploy our national assets from both the private and public sector under the co-ordination and supervision of the Government to get the students out of Eygpt". (PM DS Mohd Najib Razak)

"Ops Pyramid demonstrates the ability of the Malaysian authorities to rapidly plan, mobilise and deploy civil-military resources for a national effort, at short time, with no rehearsal and at a long range". (Blogger Senang Diri)

Pengatur gerakkan sumber-sumber negara (awam dan swasta) adalah merupakan sebahagian daripada faktor yang diperlukan untuk merealisasikan "Total Defence" (Pertahanan Menyeluruh -HANRUH). Dalam konteks ini, keupayaan negara menggerakkan sebanyak 3 buah pesawat C130 TUDM, dua buah pesawat 747 MAS dan sebuah pesawat A330 AirAsia serta kapal MV Bunga Mas 5 milik MISC untuk memindahkan rakyat Malaysia daripada Mesir ke Jeddah adalah satu keputusan yang amat baik. Penghantaran mereka pulang ke Malaysia adalah menjadi perkara kedua dan kurang relevan kerana mereka sudah terselamat daripada keadaan "anarkik" di Mesir.


"Total Defence" yang dipraktiskan oleh banyak negara termasuk Singapura menuntut daripada setiap sektor masyarakat untuk memperteguh ketahanan nasional bagi pertahanan negara. "Total defence" juga memperuntukan tindak balas secara komprehensif dan sepadu bagi menghadapi apa juga bentuk cabaran dan ancaman khasnya terhadap negara. Selain pertahanan ketenteraan, "total defence" turut mencakupi elemen-elemen pertahanan yang lain seperti psikologi, sosial, ekonomi dan sivil.HANRUH yang menjadi sebahagian dari Dasar Pertahanan Negara turut mengambil kira faktor-faktor tersebut.

'Op Piramid' seperti kata YAB PM adalah satu usaha di bawah prinsip "total defence".Walaupun, tidak sepenuhnya menterjemahkan "total defence" sebagaimana yang sepatutnya, setidak-tidaknya kita telah bergerak satu langkah ke hadapan ke arah mencapai matlamat tersebut. Paling penting pada hemat saya, negara sudah memilikki satu "model", satu pendekatan yang boleh diguna pakai untuk tujuan misi menyelamat/evakuasi pada skala besar di masa-masa kaan datang.

Wednesday, January 26, 2011

TLDM IKRAR AKAN TERUS SERBU LANUN

Demikian tegas Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar sebagai langkah mempertahankan tindakan Paskal merampas semula kapal MT Laurel yang telah dikritik oleh Tentera Laut Kesatuan Eropah (EU).

PTL selanjutnya berkata bahawa, serbuan sedemikian penting bagi menimbulkan ketakutan ke atas lanun agar mereka tidak lagi melakukan jenayah di laut lepas, khasnya terhadap kapal-kapal milik Malaysia. Tegas beliau lagi, " Tiada kompromi dalam hal ini". "Bagaimanapun, kita tidak akan bertindak sekiranya keselamatan anak-anak kapal yang ditawan itu berada dalam bahawa".

Apa yang dikatakan oleh PTL itu ada kebenarannya. Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan lanun Somalia yang berleluasa telah mengakibatkan kerugian lebih RM 22 bilion setahun kepada dunia. Lanun Somalia telah menahan lebih 2,000 tebusan dan menerima wang tebusan berjumlah RM 30 juta hasil rampasan kapal tangki sejak Disember 2008. Sehingga akhir 2010, seramai 612 tebusan dan 26 kapal masih ditawan.

Cuba kita bayangkan jika sekiranya tidak ada negara seperti Malaysia, Australia dan Korea Selatan yang berani bertindak balas ke atas keganasan lanun Somalia itu, sudah pasti statistik rampasan kapal , pembayaran wang tebusan dan kerugian kepada barang muatan akan semakin meningkat.

Tentera Laut Kesatuan Eropah mungkin mengguna pakai pendekatan yang berbeza. Mereka hanya akan bertindak apabila pasti keselamatan krew akan terselamat. Dalam konteks ini, apa bezanya operasi menyelamat yang telah dilaksanakan oleh Paskal. Tidak ada seorang pun anak kapal MT Laurel yang tercedera.Ini kerana dalam apa bentuk operasi yang dijalankan oleh ATM, kita perlu patuh kepada arahan tetap (standing operating procedures) dan juga undang-undang pertempuran (rules of engagement). Pada masa yang sama, sepertimana kenyataan PTL, kita perlu memastikan bahawa anak-anak kapal yang ditawan berada dalam keadaan selamat.

Lanun Somalia telah memberi amaran untuk tidak menawan anak anak kapal Korea Selatan tetapi sebaliknya terus membunuh mereka sebagai tindak ba;las di atas kematian rakan-rakan mereka. Saya fikir Malaysia tidak terkecuali daripada menerima amaran yang sama (walaupun tidak disebut secara jelas). Kementah/ATM dan MISC perlu mengambil maklum mengenai perkara ini dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.

Saturday, January 22, 2011

SYABAS TLDM, TAHNIAH

SYABAS TLDM,TAHNIAH ATM

Syabas TLDM di atas kejayaan Pasokan Khas Lautnya (Paskal) membebaskan sebuah kapal tangki negara MT Laurel berserta 23 orang anak kapalnya daripada tawanan lanun Somalia di perairan Teluk Aden, dua hari yang lalu.Walaupun, contohnya akhbar The Star hari Sabtu memberikan liputan yang relatif meluas kepada misi menyelamat oleh tentera Korea Selatan selang sehari selepas kejayaan Paskal, kerana liputan beritanya dipetik oleh agensi berita antarabangsa (AFP), namun saya berasa cukup bangga dengan kejayaa Paskal.

Kita patut berasa kagum dengan kejayaan Paskal kerana kemampuannya melaksanakan misi tersebut "in a record breaking time" - iaitu lebih kurang dua jam selepas MT Laurel ditawan. Setelah meneliti laporan dua buah akhbar tempatan saya dapati bahawa kejayaan ini dicapai kerana adanya beberapa faktor berikut. Pertama, adanya faktor "timeliness" - semua yang terlibat tidak banyak membuang masa, sama ada menanti untuk menerima arahan daripada pihak yang lebih tinggi atau menanti tuntutan daripada pihak lanun. Sejurus selepas diserang oleh lanun, anak-anak kapal MT Laurel telah mengaktifkan Sistem Amaran Keselamatan kapal (SSAS).Sebaik menerima panggilan kecemasan tersebut, Pemeritah Paskal yang berada di kapal MV Bunga Mas 5 terus mengarahkan trupnya untuk bertindak. Kedua, anak-anak kapal MT Laurel faham dan patuh kepada arahan tetap iaitu mengaktifkan SSAS, berkumpul dan bersembunyi, memadamkan lampu dan mematikan injin kapal. Ini merumitkan pihak lanun untuk melakukan tindakan-tindakan selanjutnya. Ketiga, adanya ko-ordinasi diantara pemerintah Paskal di MV Bunga Mas 5 dengan anggota-anggotanya yang berada di dalam dua buah bot untuk melakukan operasi menyelamat dan juruterbang helikopter Fennec yang memberikan bantuan tembakan dan panduan arah. Keempat, komunikasi yang berterusan diantara ketiga-tiga elemen tersebut di atas. Kelima, penggunaan taktik dan prinsip peperangan yang betul antaranya, "concealment" - iaitu memulakan operasi menyelamat di waktu dinihari (suasana gelap). Tindakan seumpama ini boleh menimbulkan kejutan (surprise) kepada pihak lanun, dan juga penggunaan kuasa tembak (fire power)yang lebih superior daripada pihak musuh melalui tembakan bantuan daripada helikopter Fennec dan MV Bunga Mas 5.

Pada hemat saya operasi menyelamat yang dilaksanakan oleh Paskal boleh disifatkan sebagai satu "calculated risk" kerana mereka banyak tidak tahu mengenai pihak musuh. Namun, menerusi latihan-latihan yang telah dilalui dan sifat keberanian mereka telah berjaya dengan cemerlang.

Paskal bukan sahaja telah menyelamatkan harta negara dan muatannya yang bernilai lebih kurang RM 30 juta, tetapi yang lebih penting mereka telah berjaya menyelamatkan nyawa 23 orang anak-anak kapal MT Laurel.Saya pasti sekiranya berita ini berjaya dipetik oleh agensi-agensi berita antarabangsa, kejayaan Paskal bukan sahaja akan menjulang nama Malaysia tetapi juga akan menaikkan imej ATM secara keseluruhannya dan TLDM khasnya.

Syabas TLDM dan tahniah ATM!!!

Wednesday, January 19, 2011

STRATEGI UNTUK TINGKATKAN PENYERTAAN BELIA CINA DALAM ATM

STRATEGI UNTUK TINGKATKAN PENYERTAAN BELIA CINA DALAM ATM

"Ketika ATM melancarkan program pengambilan anggota-anggota baru di Bidor pada akhir Nob 2010, hanya belia-belia Melayu dan India sahaja yang hadhir; tiada seorang pun belia bangsa Cina yang menyertainya", demikian tegas Menteri Pertahanan, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemberita selepas menerima kunjung hormat Duta Besar Republik Rakyat Cina ke Malaysia awal Jan 2011 lalu.

Satu berita yang amat mendukacitakan, tetapi itulah realitinya. Namun demikian, dalam usaha untuk terus menggalakkan lebih ramai belia bangsa Cina menyertai ATM satu strategi baru telah dirancang untuk dilaksanakan. Ketika menerangkan mengenai strategi baru itu, DS Ahmad Zahid berkata bahawa Kementah akan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, kolej-kolej yang mempunyai majoriti penuntut bangsa Cina dan juga akhbar-akhbar vernakular berbahasa Cina.

Apa yang diharapkan ialah agar strategi baru ini akan mendapat kerjasama dan sokongan yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang disebutkan. Yang pentingnya strategi ini memerlukan usaha yang bersepadu, terselaras dan fokus oleh semua pihak yang terbabit bagi merangsang dan menimbulkan minat di kalangan belia-belia Cina untuk menyertai ATM. Hanya dengan cara yang demikian secara tidak langsung akan menepis segala pandang negatif tentang keengganan belia-belia Cina daripada menyertai ATM.

Minat ke atas sesuatu perkara boleh disemai dan dipupuk sekiranya ia dilakukan melalui satu proses pembangunan (development process) yang berstruktur dan teratur. Banyak faktor yang boleh digembleng untuk menimbulkan minat. Antaranya ialah melalui proses penerangan/penjelasan (information/explaination), pemerhatian (observation), penyertaan (participation), sokongan (support), motivasi dan dorongan (encouragement).

Kita boleh memberi seribu satu dalih dan alasan ke atas apa juga perkara sekiranya kita tidak ada minat dan begitu pulalah sebaliknya. Kita sanggup berbuat apa sahaja - melanggar adat dan budaya bangsa, memutuskan hubungan kekeluargaan, menolak keuntungan dari segi ekonomi dan bertukar ideologi politik - semata-mata kerana adanya minat.

Wednesday, January 5, 2011

KEMENTAH RANCANG TUBUHKAN KOMPENI ASKAR WATANIAH DI 222 KAWASAN PARLIMEN

Siaran lewat tetapi kandungan beritanya difikirkan masih relevan untuk makluman pembaca. Ini mengenai berita yang tersiar di dalam Malaysiakini bertarikh 11 Dis 2010 mengenai rancangan kerajaan untuk menubuhkan sebanyak 222 kompeni Askar Wataniah (AW), iaitu pada kadar sebuah kompeni AW bagi setiap kawasan parlimen. Menurut Malaysiakini, setakat ini sebanyak 198 kompeni AW telah pun ditubuhkan di seluruh negara. Turut tersiar di dalam Malaysiakini ialah pandangan seorang ahli politik bahawa kerajaan mempunyai agenda tersembunyi di sebalek penubuhan kompeni-kompeni berkenaan.

Saya tidak bercadang mengulas dari perspektif politik tetapi sebaliknya berusaha untuk melihatnya dari sudut keselamatan dan pertahanan negara secara keseluruhannya. Namun demikian, saya akan cuba membetulkan pandangan ahli politik berkenaan di dalam tulisan ini.

Rancangan untuk menubuhkan kompeni-kompeni AW di keseluruhan kawasan parlimen di dalam negara bukanlah satu perkara baru. Ianya telah dirangka beberapa tahun yang lalu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan AW sebagai penyokong dan pelapis kepada tentera tetap (regular troops). Pembentukan kompeni-kompeni AW ini telah dilaksanakan secara berperingkat dan berita terakhir yang diperoleh mengenai perkembangan penubuhan kompeni-kompeni ini ialah sewaktu pelancaran penubuhan 4 kompeni AW oleh Panglima Tentera Darat (PTD) di Melaka pada 16 Okt 2010.

Menurut PTD, objektif utama penubuhan kompeni-kompeni AW adalah untuk menjadikannya sebagai “benteng kedua” pertahanan nasional menjelang tahun 2020. Bagi mencapai matlamat tersebut, ATM telah mensasarkan untuk merekrut seramai 2 anggota AW bagi setiap seorang anggota tentera tetap, atau pada nisbah 2:1.

Kekuatan AW masa kini dianggarkan seramai 60,000 orang. Sekiranya kekuatan ATM (lebih kurang 100,000 orang anggota) dikekalkan sehingga tahun 2020, ini bermakna ATM memerlukan seramai 200,000 anggota AW untuk mencapai sasaran tersebut. Dengan kekuatan AW yang ada sekarang, ini bermakna ATM perlu mendapatkan seramai 140,000 anggota sukakarelawan untuk mencapai sasaran 2:1 dalam tempoh 10 tahun mulai sekarang.

Rancangan penubuhan sebanyak 222 kompeni AW menepati keperluan bagi menempatkan seramai 200,000 anggota AW.Ini mengambil kira kekuatan sesebuah kompeni adalah dalam lingkungan 90 hingga 100 anggota, tidak termasuk pegawai dan anggota daripada pasokan tetap yang bertugas untuk memerintah dan mengurus tadbir kompeni-kompeni berkenaan.

Dari segi penempatan, sama ada kompeni-kompeni berkenaan di tempatkan di bawah kawasan parlimen ataupun kawasan daerah/jajahan sesebuah negeri bukanlah menjadi satu isu besar kerana mereka tidak menerima arahan daripada ahli parlimen mahupun pegawai daerah/jajahan. Sebaliknya ketua kompeni memerintah kompeninya berdasarkan arahan daripada Pegawai Memerintah Rejimen ataupun ATM. Tambahan lagi, ini adalah merupakan rancangan aturgerak (deployment plan) yang terbaik dilaksanakan selaras dengan objektif utama penubuhan kompeni-kompeni ini sebagai “benteng kedua” pertahanan nasional menjelang tahun 2020. Aturgerak seumpama ini turut menyokong dan membantu tugas utama pasokan tetap yang mempunyai tugas-tugas primer yang lain.

Saya juga berasa tidak wujud muslihat politik di sebalik penubuhan kompeni-kompeni AW ini kerana sebahagian besar daripada anggota AW yang akan mengisi kekuatannya adalah terdiri daripada warga kawasan parlimen itu sendiri.Sekiranya berlaku pillihanraya (umum atau kecil), mereka akan tetap mengundi di kawasan mereka sendiri, sama ada secara terbuka ataupun sebagai pengundi pos.

Saya kurang pasti mengenai maklumat bahawa 198 kompeni AW sudahpun ditubuhkan setakat ini. Sekiranya maklumat ini benar sekali pun, saya yakin kekuatan kompeni-kompeni ini masih belum dapat diisi sepenuhnya. Ini berdasarkan kenyataan PTD bahawa kekuatan masakini AW dianggarkan seramai 60,000 anggota sahaja.

Walaupun agak terdesak, ATM telah memberikan jangka waktu (time lime) yang agak panjang, iaitu selama 10 tahun untuk mencapai sasarannya. Harapan kita, semoga rancangan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada seluruh rakyat yang layak untuk menyertainya. Ini adalah merupakan opsyen yang terbaik kepada mereka yang ingin mendapatkan pengalaman hidup sebagai seorang anggota tentera secara tidak sepenuh masa.

Kita amat beruntung kerana Malaysia tidak melaksanakan program “national service” bagi mengabsahkannya (legitimize) untuk mengerak dan memobilisasikan rakyat untuk mempertahankan negara apabila keadaan menuntut ia berbuat demikian. Oleh kerana itu kita berasa kurang bertangungjawab ke atas perkara-perkara yang menyentuh soal-soal keselamatan dan seringkali bertanggapan bahawa isu-isu keselamatan dan pertahanan perlu ditangani dan dipertanggungjawabkan kepada pasokan keselamatan sahaja.

Keselamatan negara adalah tanggungjawab semua pihak. Banyak cara dan pendekatan yang boleh kita sebagai rakyat lakukan untuk tujuan itu. Salah satunya ialah dengan menyertai pasokan AW. Malah penubuhan AW boleh dianggap sebagai “nucleus” kepada “dasar pertahanan menyeluruh” yang memerlukan penyertaan kedua-dua sektor awam dan sektor swasta untuk menjayakannya. Ini kerana di dalam AWlah terdapatnya individu-individu yang memegang jawatan professional di sektor awam dan swasta yang dapat membantu menggerakkan jentera kerajaan ketika negara menghadapi keadaan darurat.

Thursday, October 21, 2010

PEGAWAI BELOT KENA TINDAKAN ISA

PEGAWAI BELOT KENA TINDAKAN "ISA"

Keputusan KDN untuk mengenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri {ISA) terhadap kakitangan Jabatan Imigresen dan orang tengah yang ditahan kerana terbabit rasuah dan pemalsuan dokumen di pintu sempadan negara sehingga membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) bolos ke negara ini adalah sesuatu yang amat wajar kerana ia bersangkut paut dengan keselamatan negara.

Tindakan KDN itu adalah merupakan satu "punitive action" dan "deterrence" bagi mengekang dan mencegah aktiviti sedemikian dari terus berleluasa. Ini kerana sungguhpun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)berjaya membongkar aktiviti berkenaan ia hanya merupakan "tip of the iceberg" . Dipercayai terdapat aktiviti-aktiviti yang serupa sedang berlaku di beberapa pintu masuk daratan dan lautan ke negara ini. Permintaan Ketua Pengarah Imigresen supaya SPRM menempatkan pegawai-pegawainya sebagai pengitip di "kawasan panas" yang dikenal pasti bagi membanteras gejala rasuah di kalangan kakitangan Imigresen dapat menyokong tanggapan ini.

Kita tidak pasti berapa ramai PATI yang telah menetap secara haram atau keluar masuk secara bebas menerusi urusan ini ke negara kita. Mungkin jumlahnya adalah lebih ramai dari mereka yang masuk secara sah ke negara ini. Anggapan ini mungkin benar kerana sebagai contoh, kegiatan seumpama ini telah berterusan selama 15 tahun di Jeti Penumpang Pulau Ketam tanpa dapat dihidu atau dikesan oleh sebarang agensi penguatkuasa.

Dorongan dan insentif kewangan yang besar jumlahnya telah mengaburi mata serta tahap kewarasan pemikiran mereka yang terlibat. Perlakuan mereka telah memperlekehkan undang-undang serta menggadaikan maruah, keselamatan dan kedaulatan negara. Sewajarnyalah mereka diabelkan sebagai pembelot dan pengkhianat negara.

Apabila KDN bertindak untuk mengambil tindakan atas asas keselamatan kita perlu sedar bahawa PATI yang masuk ke Malaysia terdiri daripada berbagai jenis dan ciri manusia. Tujuan kemasukan mereka juga berbeza. Sebahagian besarnya masuk untuk mencari rezeki yang halal. Namun, terdapat di kalangan mereka penjenayah/bekas penjenayah yang dikehendakki (wanted) oleh pemerintah negara asal mereka lalu lari ke negara ini untuk bersembunyi dan pada masa yang sama melakukan kegiatan jenayah mereka. Mungkin juga terdapat di kalangan mereka anggota-anggota militan yang ditugaskan untuk merekrut dan melatih kader-kader baru daripada negara ini untuk merealisasikan pembentukan "Darul Islam" di rantau ini sepertimana yang pernah berlaku sebelumnya.Atau mungkin juga terdapat guru dan pengikut ajaran sesat yang ingin mengembangkan ajaran songsang mereka. Dan mungkin juga terdapat di kalangan mereka anggota-anggota/bekas anggota-anggota pasokan keselamatan yang ditugaskan untuk tujuan pengutipan maklumat.

Sekiranya tanggapan ini benar, kumpulan-kumpulan ini berpotensi untuk mencorakkan iklim keselamatan dalam negeri kepada satu situasi yang membimbangkan. Malah pada ketika ini pun, meningkatnya kadar atau indeks jenayah sebahagian besarnya adalah berpunca dari kehadiran mereka ini. Apa yang paling membimbangkan ialah sekiranya meletus ketegangan dan konflik antara Malaysia dan negara asal PATI yang berpunca dari masalah dua hala, kumpulan PATI dan juga pendatang secara sah boleh dijadikan sebagai "fifth columnist" untuk menyokong dan membantu negara asal mereka daripada dalam negara ini sendiri. Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan memandangkan semangat nasionalisme mereka yang kental dan tidak berbelah bahagi. Berlakunya konflik antara kedua negara ini juga tidak boleh dipandang rengan kerana "there is no permanent friend but permanent interest".

Isu-isu keselamatan buka semata-mata menjadi tanggungjawab pasokan keselamatan sahaja. Setiap seorang dari kita turut bertanggungjawab. Sehubungan itu, kita perlu sentiasa menyematkan perasaan cemburu, perihatin dan waspada terhadap setiap aktiviti dan perlakuan pendatang-pendatang asing.

Monday, October 4, 2010

KISAH KD TUNKU ABDUL RAHMAN DAN PEMBOCORAN MAKLUMAT

MAAF! sebab terlalu lewat untuk mengucapkan tahniah kepada TLDM atas kejayaan KD Tunku Abdul Rahman melancarkan ujian tembakan di kawasan Laut Cina Selatan hujung Julai 2010 lalu. Walaupun hanya melihat melalui 4 keping “still photo” yang disertakan laporan yang dibaca, saya begitu kagum dengan kejayaan KD Tunku Abdul Rahman menguji tembak dari bawah permukaan ke sasaran di permukaan yang julung-julung kali dilaksanakan oleh aset TLDM .

Kejayaan KD Tunku Abdul Rahman memberi gambaran mutakhir mengenai status kapal selam berkenaan , yang sebelum ini diberitakan oleh Menteri Pertahanan sebagai sedang mengalami masalah teknikal termasuk ketidak mampuan untuk menyelam.

Perkembangan terbaharu ke atas kapal selam itu sekali gus menjadikan maklumat berkaitan KD Tunku Abdul Rahman yang disampaikan oleh AP Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar kepada pihak ketiga sebagai tidak lagi relevan dan tidak mempunyai sebarang nilai PERISIKAN kepada penerimanya. Namun demikian, malang bagi Nurul Izzah kerana terpaksa membayar harga yang tinggi ke atas tindakannya membocorkan maklumat negara kepada pihak yang tidak berhak menerimanya. Beliau telah dilabel sebagai “penderhaka/pengkhianat” serta dikritik dan satu laporan Polis telah di buat ke atas beliau oleh pihak TLDM.

Nurul Izzah bukanlah orang pertama yang melakukan kesalahan seumpama ini. Ramai orang di luar sana , tidak kira apa status, jawatan atau kedudukan mereka ; sama ada secara disedari atau tidak disedari; dengan niat atau tanpa niat; secara sukarela atau secara mendapat imbuhan, ada melakukannya. Beza antara Nurul Izzah dengan orang lain ialah beliau melakukannya di luar negara kepada “audience” asing. Manakala, yang lainnya membocorkan maklumat kepada pihak-pihak berkepentingan di dalam negara seperti ahli-ahli politik, ahli-ahli perniagaan atau juga orang perseorangan yang mempunyai agenda-agenda tertentu. Ada pula segelintir orang kita yang berperanan sebagai agen untuk memberikan maklumat mengenai negara ini kepada negara asing.

Maklumat adalah data mentah (raw data) yang sudah diproses untuk menjadikannya bersifat benar dan tepat, khusus dan disusun untuk memenuhi sesuatu matlamat dan juga bagi tujuan meningkatkan pemahaman dan mengurangkan keraguan tentang sesuatu perkara yang dimaksudkan. Oleh kerana sifatnya yang sedemikian, maklumat diberikan pendarjahan (classification) yang khusus dengan tujuan untuk melindunginya daripada digunakan untuk merosak atau membahayakan keselamatan nasional. Semakin bernilai maklumat itu semakin tinggi pendarjahan yang diberikan, bermula mengikut sususan atas ke bawah dari Rahsia Besar, Rahsia, Sulit dan Terhad.

Maklumat berdarjah yang diberikan Nurul Izzah kepada pihak ke tiga secara tersendiri (in isolation) tidak akan menjejaskan keselamatan dan pertahanan negara. Namun, ia dapat membantu untuk memperlengkap dan memberikan gambaran besar mengenai profil negara. Jika di dalam bidang pemasaran/perniagaan skala besar mereka menggunakan analisis SWOT (strength, weaknesses, opportunity ,threats) sebelum memasuki sesuatu pasaran, begitu juga dengan kaedah yang diguna pakai oleh sebuah negara ke atas sebuah negara lain. Mereka akan mengutip, menyusun kumpul dan menganalisis apa juga maklumat penting mengenai sesebuah negara untuk membuat rumusan mengenai kekuatan dan kelemahan negara berkenaan.

Mungkin ada pihak yang mempersoalkan kewajaran Nurul Izzah (sebagai contoh) memberikan maklumat seumpama itu kerana tanpa beliau berbuat demikian maklumat sebegitu masih boleh didapati daripada sumber-sumber lain. Memang diakui, dalam era kecanggihan teknologi maklumat ini, maklumat bagaikan komoditi yang amat mudah diperolehi.Negara-negara maju contohnya menggunakan satelit untuk mengutip maklumat mengenai sesebuah negara lain.Namun demikian , sebagaimana yang diakui oleh Amerika Syarikat di dalam peperangan di Iraq dan Afghanistan, maklumat yang diperoleh secara human intelligence (humint) dari orang perseorangan adalah lebih tepat berbanding maklumat yang diperolehi melalui electronic intelligence (elint) atau signal intelligence (sigint). Humint mengsahkan apa juga maklumat yang dikutip melalui dua cara yang disebut itu.

Sedar di atas pentingnya manusia sebagai pembekal maklumat yang sahih, beberapa peraturan telah dibuat bagi mengekang maklumat berdarjah dari jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini. Mereka yang diberi authority dan kuasa untuk mengurus dan menggendali maklumat-maklumat berdarjah ini perlu dibuat tapisan keselamatan terlebih dahulu. Mereka juga tertakluk kepada beberapa akta dan undang-undang antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Malangnya , di sebalik langkah-langkah yang diambil ini aktiviti pengaliran maklumat berdarjah terus berlaku, dan berlaku secara terbuka. Saya pernah terbaca posting seorang blogger yang menceritakan mengenai “operational status” pesawat-pesawat MIG 29 di Pangkalan Gong Kedak. Kita juga mungkin pernah mendengar bagaimana maklumat “dipindahkan secara langsung” menerusi penggunaan telefon bimbit oleh seorang ahli di dalam mesyuarat kepada seorang lain di luar bilik mesyuarat. Pemindahan dokumen berdarjah juga boleh dilakukan secara mudah dengan menyalinnya ke dalam “pendrive” atau dengan mengambil gambar menggunakan telefon bimbit berkamera.

Akhirnya, setelah segala kaedah dan cara yang diperkenalkan gagal untuk mengelakkan pembocoran maklumat daripada terus berlaku, apa yang tinggal ialah sikap “integrity” , amanah dan tanggungjawab setiap seorang yang diberi kuasa dan authority untuk mengurus dan menggendalikan maklumat. Pengurusan maklumat perlu dilaksanakan secara penuh berhemah, beretika, penuh komitmen dan rasa tanggungjawab. Nyahkan sifat pentingkan diri sendiri dan elak daripada mengkompromikan keselamatan negara.