Monday, August 30, 2010

KESENGSARAAN RAKYAT AFGHANISTAN:WAJARKAH MALAYSIA HULURKAN BANTUAN KEMANUSIAN

KESENGSARAAN RAKYAT AFGHANISTAN:WAJARKAH MALAYSIA
HULURKAN BANTUAN KEMANUSIAAN
Setiap kali kita menyebut nama negara Afghanistan akan tergambar di hadapan kita senario peperangan. Ini kerana, peperangan sudah menjadi begitu sebati dengan kehidupan setiap warga Afghanistan. Selagi perang berterusan bayi yang lahir hari ini akan melalui episod kehidupan yang sama seperti yang pernah dilalui oleh abang, ayah, ibu, datuk serta nenek mereka. Mungkin, anak dan cucu kepada bayi yang lahir pada hari ini akan melalui fasa kehidupan yang sama.

Peperangan tidak menjanjkan sebarang keuntungan. Sebaliknya ia meninggalkan banyak kerugian serta kesan fizikal dan emosional ke atas negara serta rakyat yang terlibat di dalam peperangan.

Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang perang di Afghanistan. Berita mengenainya sentiasa tersiar dimedia-media cetak dan elektronik. Apa yang cuba saya siarkan di sini ialah kesan peperangan ke atas warga Afghanistan, khususnya kaum wanita serta kanak-kanak.

Ketika Taliban berjaya menguasai Afghanistan pada tahun 1996, terdapat antara 25,000 hingga 30,000 keluarga yang mana ketua keluarganya adalah ibu tunggal. Jumlah keluarga ibu tunggal dipercayai terus meningkat dalam tempoh 14 tahun berikutnya ekoran dari:- kejayaan tentera AS dan sekutunya menjatuhkan pemerintahan Taliban pada akhir tahun 2001 yang turut mengorbankan banyak nyawa, khususnya di kalangan kaum lelaki ; dan “protracted war” (peperangan berlanjutan) yang berlaku walaupun Afghanistan telah ditadbir oleh kerajaan baru pimpinan Hamid Karzai yang disokong oleh tentera keamanan antarabangsa.

Pemerintahan singkat Taliban banyak mempengaruhi cara hidup wanita Afghan pada hari ini. Sebaik sahaja menguasai Afghanistan , Taliban telah memperkenalkan kod etika Negara Islam yang berteraskan kepada prinsip “Amal Makruf dan Nahi Munkar”. Kaum wanita telah diwajibkan memakai “burqa”, dilarang daripada keluar rumah dan bercampur gaul dengan kaum lelaki, diwajibkan berada di rumah dan berfungsi sebagai ibu serta pengasuh, dilarang dari bekerja sementara kanak-kanak perempuan/gadis pula dilarang daripada ke sekolah. Penguat kuasaan hukum Islam yang ditafsirkan mengikut pemahaman Taliban serta amalan adat masyarakat Pashtun yang dikenali sebagai Pushtunwali terus menyekat perkembangan dan pembangunan kaum wanita Afghan, khususnya dalam sektor sosio-ekonomi dan pendidikan.

Kita tidak dapat bayangkan bagaimana ibu-ibu tunggal berkenaan, yang telah dinafikan segala hak asasi mereka ketika pemerintahan Taliban, berhadapan dengan berbagai bentuk cabaran untuk mengurus dan mentadbir kehidupan seharian mereka siisi keluarga. Sebagai seorang wanita dan juga ketua keluarga mereka amat daif dalam segala bidang kehidupan: tidak mempunyai sumber pendapatan, buta huruf, tahap kesihatan yang rendah serta didiskriminasi.

Mengikut UNICEF, hampir 50 peratus daripada 22 juta penduduk Afghanistan terdiri dari mereka yang berumur di bawah 18 tahun.Bagi sebuah negara aman yang sedang membangun, statistik ini mencerminkan satu prospek yang amat baik dari segi sumber tenaga manusia kerana merekalah yang bakal memimpin dan menerajui pentadbiran negara. Tetapi bukan untuk Afghanistan! Kebanyakan dari mereka kini menjadi “displaced persons”, berkeliaran di mana-mana : di bandar-bandar utama di Afghanisatn seperti Kabul, Logar, Kandahar, Mazar-I-Sharif dan Heart, mahupun di kem-kem pelarian di Pakistan (Peshawar dan Quetta). Dianggarkan seramai 3 juta pelarian rakyat Afghanistan kini terdapat di Pakistan, dan separuh daripadanya adalah kanak-kanak. Daripada lebih kurang 1.5 juta kanak-kanak yang berada di Pakistan, 750,0000 daripadanya berada di Peshawar.

Peperangan telah meragut segala hak dan keistimewaan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap kanak-kanak Afghan. Dalam usia sebegitu muda (majoritinya dalam lingkungan usia antara 6 tahun ke atas), kanak-kanak ini sudah kehilangan kasih dan sayang ibu dan bapa; mereka dinafikan peluang untuk membesar dalam suasana sebuah famili yang harmoni, mengenal dan menikmati dunia kanak-kanak mereka sepenuhnya; mereka terhalang untuk mendapatkan pendidikan asas dan lanjutan kerana peperangan sudah banyak memusnahkan sekolah-sekolah; mereka tersingkir daripada arus perdana kehidupan kerana masyarakat setempat turut tidak mempedulikan kewujudan mereka, sama ada mereka makan atau minum, atau mempunyai tempat berteduh; dan paling menyedihkan apabila ramai dari kalangan kanak-kanak tersebut mengalami tekanan psikologi kerana menjadi mangsa perang.

Kehidupan perlu diteruskan. Kanak-kanak perang ini berada di merta tempat demi “survival” mereka serta keluarga mereka. Mereka berkeliaran di serata cerok bandar dan kota mencari apa-apa pekerjaan demi sedikit wang ataupun makanan bagi menampung kehidupan harian diri, dan keluarga mereka. Mereka berada di lereng bukit dan gunung mencari kayu api dan di lembah mengangkut air untuk kegunaan keluarga.

Peperangan telah meninggalkan kesengsaraan dan trauma yang tidak sedikit kepada dua kumpulan tersebut di atas. Mereka memerlukan berbagai bentuk bantuan bagi mengurangkan kesengsaraan yang mereka hadapi khususnya dari segi kesihatan dan pendidikan. Sungguhpun kedua-dua kumpulan memerlukan perhatian yang sama rata, namun keutamaan perlu diberikan kepada kumpulan kanak-kanak perang . Ini penting kerana mereka adalah merupakan pewaris yang bakal menentukan jatuh bangunnya sebuah negara Afghanistan pada masa hadapan.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan Presiden Hamid Karzai turut menerima bantuan kemanusiaan daripada luar negara. Namun, kerana keterikatan kaum wanita dengan adat resam mereka enggan untuk keluar dan mendapatkan rawatan daripada doktor-doktor lelaki. Begitu juga dengan kaum lelaki yang anti-Barat, mereka keberatan untuk mendapatkan bantuan daripada pihak barat.

Awal Ogos 2010 lalu, Menteri Pertahanan menyatakan bahawa ATM bersedia menghantar pasukan perubatan (Malaysian Medical Unit-MMU) ke Afghanistan jika kerajaan negara itu memohon kepada Malaysia. Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zaid, penugasan ini bakal melibatkan satu kontinjen seramai 40 orang anggota perubatan ATM bagi membantu membina semula prasarana dan melaksanakan misi perubatan di Wilayah Bamiyan.

Kesungguhan Malaysia untuk menghulurkan bantuan dilihat amat wajar kerana ia lebih bersifat bantuan kemanusiaan serta perubatan dan bukannya untuk menyertai pasukan keamanan antarabangsa bagi melakukan tugasan kombat. Misi kemanusiaan dan perubatan seumpama ini sudah sering kali dilaksanakan oleh tim-tim perubatan ATM sebelum ini termasuklah di Somalia, Bosnia-Herzegovina dan Sudan. Pentingnya bantuan seumpama ini khususnya kepada golongan kanak-kanak perang adalah bertujuan untuk memulihkan semula kesan psikologi yang dialami akibat peperangan serta memulih serta meningkatkan lagi tahap kesihatan mereka. Usaha ini penting memandangkan mereka merupakan aset penting yang akan menyambung kehidupan generasi akan datang di Afghanistan.

Dalam menyumbangkan bantuan kemanusiaan seumpama ini, komitmen sewajarnya tidak harus terhad kepada sesebuah agensi atau kementerian sahaja. Memandangkan bahawa ada berbagai jenis bantuan lain yang diperlukan (seperti pendidikan untuk kanak-kanak , skim bantuan untuk kaum wanita) ada baiknya jika jabatan atau kementerian-kementerian lain turut menyertai ATM dalam misi bantuan seumpama ini. Kerjasama seumpama ini adalah sejajar dengan semangat 1 Malaysia.


SELAMAT MENYAMBUTAN HARI ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE 53 TAHUN. MERDEKA!!!!!

2 comments:

Anonymous said...

apa salahnya atas dasar perikemanusiaan?

Anonymous said...

Bantu boleh tapi berpada-pada sebab kat dalam negara pun masih ramai yg memerlukan bantuan.