Thursday, June 23, 2011

2058 PENCEROBOHAN RUANG UDARA MALAYSIA OLEH SINGAPURA

Pesawat-pesawat Tentera Udara Republik Singapura (TURS) telah melakukan sebanyak 2058 pencerobohan ruang udara Malaysia sejak 2008. Demikian penjelasan Menteri Pertahanan ddalam sesi soal jawab di Parlimen beberapa hari yang lalu. Menurut beliau, sebanyak 985 pencerobohan ruang udara telah direkodkan pada tahun 2008 (purata 164 kejadian setiap bulan), manakala bagi tahun 2009 pula adalah sebanyak 1,286 kejadian atau purata sebanyak 107 kejadian bagi setiap bulan. Statistik pencerobohan bagi tahun 2010 telah menurun secara drastik kepada 218 kejadian atau 18 pencerobohan bagi setiap bulan manakala sehingga bulan Mei 2011, sebanyak 19 kejadian telah direkodkan.

Pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat-pesawat TURS bukanlah merupakan satu aktiviti yang baru. Ia telah berlaku sejak begitu lama dahulu, mungkin sejak Singapura berpisah dari Malaysia dan setelah republik tersebut menubuhkan angkatan tentera udaranya.

Kita faham masalah yang dihadapi oleh Singapura di mana kedudukan pangkalan TURS yang begitu hampir dengan sempadan negera di bahagian selatan dan juga ruang udaranya yang sempit. Kita juga maklum bagaimana Singapura sering menggunakan alasan untuk mendapatkan kelulusan menggunakan ruang udara Malaysia untuk kegunaan pesawat TURS sebagai "leverage" atau kuasa tawar menawar dalam apa juga perbincangan dua hala yang membabitkan Malaysia dan Singapura. Namun, sepertimana penjelasan Menteri Pertahanan, ruang udara yang sempit bukanlah satu alasan yang boleh diterima bagi mewajarkan Singapura menceroboh ruang udara Malaysia.

Seperti kejadian-kejadian seumpamanya yang berlaku sebelum ini, apa yang boleh kita lakukan ialah dengan menghantar nota 'bantahan diplomatik' melalui Kementerian Luar Negeri kepada Kementerian Luar Negeri Singapura setiap kali berlakunya insiden sedemikian.

Bercakap tentang nota 'bantahan diplomatik' ini, teringat saya satu insiden sekitar awal tahun 1990an di mana pihak Singapura telah menafikan segala dakwaan yang dibuat oleh Malaysia dan menuntut supaya setiap bantahan disertakan dengan bukti termasuk tarikh dan masa serta kordinat (co-ordinates) di mana pencerobohan tersebut berlaku. Kita akur dengan tuntutan tersebut demi untuk memperkukuhkan segala dakwaan kita dan terpaksa menubuhkan pos-pos pemerhati untuk mendapatkan bukti-bukti yang dikehendakki. Pada masa yang sama juga, kita terpaksa menerima rungutan daripada penduduk-penduduk di kawasan-kawasan yang kerap diceroboh tentang kesan yang mereka terima dari pencemaran bunyi (sound pollution).

Saya percaya setiap nota 'bantahan diplomatik' yang dimajukan kepada kerajaan Singapura kini disertakan dengan bukti-bukti yang kukuh. Namun, saya juga yakin bahawa setiap nota bantahan yang diterima hanya disimpan untuk tujuan rekod sahaja tanpa memikirkan apakah langkah-langkah yang sewajarnya perlu dilakukan untuk mengelakkan pencerobohan ruang udara Malaysia tidak berulang.

Inilah dilema yang dihadapi oleh Malaysia dalam menangani karenah oleh sebuah negara jiran paling hampir dengan kita, Kerapnya berlaku pencerobohan ruang udara seperti tahun 2009 boleh dianggap sebagai satu "irritant" dalam hubungan dua hala Malaysia-Singapura.Namun, kita juga terpaksa menerima realiti bahawa penghantaran nota 'bantahan diplomatik' untuk menyuarakan ketidak senangan kita hanyanyalah satu formaliti dalam urusan hubungan antara negara. Dalam konteks ini, benar seperti kata mantan Perdana Menteri , sama ada Tun Mahathir Mohammed atau Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa;

" Negara jiran terdekat tidak semestinya menjadi rakan karib kita "

Friday, June 17, 2011

SISTEM PERTAHANAN UDARA NASIONAL PASCA-2014 YANG LEBIH MAPAN

Beberapa petikan berita mengenai pembangunan dan pemodenan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menarik perhatian saya untuk membincangkan mengenai sistem pertahanan udara yang bakal kita miliki di masa hadapan.

Sewaktu menganugerahkan “sayap” kepada juruterbang-juruterbang TUDM pada bulan Mac lalu, Panglima Tentera Udara (PTU), Jen Tan Sri Rodzali Daud mengumumkan TUDM masih meneruskan rancangan untuk memperoleh pesawat-pesawat AWACS yang dirancang pembeliannya sejak Rancangan Malaysia Ke 7 (1996-2000). Menurut PTU, dengan adanya pesawat-pesawat AWACS itu kelak, pengurusan ruang udara negara akan menjadi lengkap sepenuhnya. Dalam temubual dengan akhbar The Sun pada bulan Mei 2011, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi turut menjelaskan bahawa pembelian pesawat-pesawat AWACS ada di dalam perancangan pihak kerajaan.

Terakhir, sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TUDM yang ke 53 pada 1 Jun 2011 lalu, PTU mengumumkan bahawa TUDM bakal menerima secara berperingkat aset baru yang termoden dan berteknologi tinggi bagi memperkasa dan mempertingkatkan sistem persenjataan serta radar pertahanan udara negara. Tegas PTU, sistem senjata dan radar ini mampu memantapkan pengawasan dan pertahanan udara dari sebarang bentuk pencerobohan oleh pesawat asing.

Kerajaan belum mengumumkan rancangan pembelian pesawat-pesawat berkenaan dalam masa terdekat ini namun, pihak akhbar sudah pun membuat spekulasi bahawa TUDM bakal memiliki skuadron Airborne Early Warning (AEW) tidak lama lagi. Pihak akhbar turut membuat ramalan , sistem radar jenis ‘Erieye’ buatan Sweden dijangka menjadi pilihan TUDM untuk dipasang sama ada di pesawat EMB 145 buatan Brazil atau Saab 2000 buatan Sweden.

Benar atau tidak laporan akhbar itu , saya sudah dapat bayangkan bahawa pertahanan udara negara pasca-2014 akan menjadi lebih mapan berbanding dengan apa yang kita miliki sekarang ini. Mengapa pasca-2014? Kerana, sepertimana jaminan PTU, sistem radar yang akan dipasang di seluruh negara menjelang 2014 mampu beroperasi setiap saat dan berupaya untuk melaksanakan tugas mengawas ruang angkasa negara tanpa mempunyai ruang kebolosan. Menurut seorang “blogger” sistem radar yang bakal diterima iaitu model Ground Master 400 (GM400) buatan Thales yang mampu mengesan dan mencari sasaran sejauh 390 – 420 km dengan ketinggian lebih dari 33,000 meter.

Perolehan pesawat-pesawat AEW pula akan memberi nilai tambah kepada usaha pengawasan udara negara kerana ia boleh bertindak sebagai “eye in the sky” atau “mobile air observation post”. Sistem radar “Erieye” yang dilapor bakal menjadi pilihan TUDM itu contohnya berkeupayaan mencari dan mengenal pasti pesawat “kawan” atau “lawan (IFF) pada jarak 350 km walaupun pesawat berada di kedudukan paras rendah. “Erieye” juga mampu mengesan dan menjejaki sasaran udara dan laut sehingga jarak 450km melepasi sempadan negara jiran.
GM 400 dan pesawat-pesawat AEW saya anggap sebagai lapisan pertama kepada sistem pertahanan udara kita kerana kemampuan kedua aset mengesan objek pada sasaran yang jauh. Pada masa yang sama, walaupun ada pihak yang menganggap penggunaan sistem radar milik Tentera Darat (TD) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak lagi “relevan” (kerana keupayaannya lebih terhad), kita masih boleh memanfaatkannya untuk menyokong fungsi GM 400 dan pesawat-pesawat AEW.

Itulah persepsi saya dari sudut sistem radar bagi tujuan pengawasan ruang udara kita. Tetapi, pertahanan udara bukan setakat mengesan dan menjejaki pesawat-pesawat musuh yang menceroboh ruang udara negara. Sebaliknya, pertahanan udara turut merangkumi tindakan mengesan pesawat-pesawat asing yang bersikap “hostile” dan membayangi (shadowing), menghambat (pursuit) dengan tujuan mengusirnya keluar dari ruang udara negara atau memusnahkannya. Di sinilah peranan pesawat-pesawat pejuang milik TUDM yang saya anggap sebagai lapisan kedua kepada sistem pertahanan udara kita.

Dalam konteks yang sama, walaupun dalam kemampuan yang terhad, TD dan TLDM juga mempunyai peranan dalam melindungi ruang udara negara. Rejimen Artilei Pertahanan Udara mempunyai aset yang tidak kurang canggihnya untuk memberikan bantuan dari segi tembakan pertahanan udara aras rendah (PUAR). Begitu juga dengan TLDM. Kapal-kapal TLDM yang dilengkapi dengan sistem persenjatan termasuk misil permukaan ke udara (SAM) boleh turut membantu peranan utama yang dimainkan oleh TUDM. Peranan oleh Rejimen Artileri Pertahanan Udara dan TLDM saya sifatkan sebagai lapisan ketiga kepada sistem pertahan udara kita.

Begitulah gambaran saya mengenai sistem pertahanan udara negara pasca-2014. Sebagai rumusannya, pada pandangan saya sistem pertahanan udara perlu bersifat ‘berlapis-lapis’ (multi-tiered). Kita tidak seharusnya meragui kemampuan lapisan pertama dan kedua untuk mengawasi dan mempertahankan ruang udara kita, tetapi kita tidak seharusnya mempunyai walau 1 peratus pun “margin of error” kerana peratusan yang sekecil itu mungkin memberikan impak yang besar kepada negara.
Tanggungjawab mempertahankan ruang udara juga perlu ditanggung secara bersama oleh TD, TLDM dan TUDM. Kecil atau besar tanggungjawab yang bakal dipikul oleh sesuatu perkhidmatan adalah perkara kedua kerana pembabitan ketiga-tiga perkhidmatan tersebut adalah konsisten dengan doktrin ‘peperangan bersama’ (jointness) yang diamalkan oleh ATM dewasa ini. Sehubungan dengan itu juga, pertahanan udara perlu ada unsur ‘kesepaduan’ (integrated) untuk membolehkan setiap aset pertahanan udara dimobilisasi dan ditempatkan di bawah satu sistem pemerintahan, kawalan, komunikasi dan perisikan (C3I).

Dalam suasana aman , amalan biasa yang dilakukan apabila berlaku pencerobohan ruang udara kita oleh pesawat negara asing ialah dengan menghantar ‘nota bantahan ‘ oleh Kementerian Luar Negeri kepada negara yang berkenaan . Keadaan dalam masa perang amat jauh bezanya. Kita perlu bertindak secara ofensif demi mempertahankan ruang udara kita sebagai salah satu pintu masuk utama ke dalam negara.

Ada pendapat mengatakan “whoever rules the air, rules the ground”. Dengan adanya sistem pertahanan udara pasca-2014 ini kelak saya rasa kita mampu menguasai ruang udara kita daripada sebarang bentuk ancaman luar demi mengekalkan kedaulatan negara.

Friday, June 10, 2011

PRODUK TEMPATAN UNTUK KEMENTERIAN-KEMENTERIAN DAN AGENSI PENGUATKUASAAN

Kementerian Pertahanan , Kementerian Dalam Negeri dan agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat di dalam bidang pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan dikehendaki menggunakan produk buatan syarikat-syarikat tempatan dalam masa terdekat ini. Keputusan tersebut dibuat di dalam mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan pada 6 jun 2011 lepas.

` Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang memaklumkan mengenai perkara tersebut turut menjelaskan bahawa sebarang kontrak untuk pembelian peralatan oleh Kementerian Kewangan hendaklah dibuat secara terus dengan pihak pengeluar dan bukan lagi melalui pihak ketiga .Ini bagi mengelakkan pihak ketiga meraih komisyen yang tinggi sehingga boleh membebankan pihak pengeluar.Pada masa yang sama, Kementerian Kewangan juga diminta supaya dapat melaksanakan satu sistem kontrak secara berpusat (central contract system) bagi mengelakkan persaingan diantara syarikat pengeluar produk pertahanan dan keselamatan.

Satu keputusan yang bijak oleh Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan dan pastinya akan melegakan banyak syarikat-syarikat yang terlibat di dalam pengeluaran produk-produk untuk kegunaan dalam bidang pertahanan, keselamatan dan penguatkuasaan. Sudah tiba masanya kita melihat ke dalam dan memberikan keutamaan kepada syarikat-syarikat tempatan kita dan memberikan mereka peluang untuk meningkat dan memperkasakan industri pertahanan kita. Selain menjimatkan pengaliran keluar wang akibat dari pembelian produk daripada luar negara , keputusan ini juga disifatkan sebagai sumbangan kita ke arah merealisasikan kolaborasi industri pertahanan di kalangan negara-negara ASEAN (ASEAN Defence Industri Collaboration-ADIC) sepertimana yang dipersetujui di dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahaan ASEAN di Jakarta bulan Mei lalu.

Pada pendapat saya, kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang terbabit tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima keputusan mesyuarat tersebut dan sedia menerima syarikat-syarikat tempatan sebagai bakal pembekal kepada produk yang mereka perlukan. Pada saya, apa yang penting kepada mereka sebagai bakal pengguna adalah dari sudut kualiti produknya.

Dasar sudah dibuat. Kini terpulanglah kepada syarikat-syarikat tempatan kita untuk menghasilkan produk-produk yang diperlukan, kalau tidak lebih baik sekurang-kurangnya standing dengan produk buatan luar negara.