Monday, April 25, 2011

RONDAAN BERSAMA KEKANG AKTIVITI MELANUN DI SELAT MELAKA
Rondaan bersama yang dilaksanakan oleh pasokan keselamatan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand di Selat Melaka sepanjang tahun 2010 sehingga pertengahan bulan Apr 2011 telah memberikan keputusan yang amat memberangsangkan. Buat pertama kalinya dalam sejarah rondaan bersama di perairan tersebut, Biro Maritim Antarabangsa (IMB) mendapati peratusan jenayah laut yang dikesan sama ada secara rasmi ataupun tidak,telah mencatatkan kosong kes. Demikian jelas Panglima Angkatan Tentera Malaysia , Jen Tan Sri Azizan Ariffin sewaktu berucap merasmikan majlis penutup Seminar Keselamatan Selat Melaka dan Singapura minggu lalu.
Sehingga awal tahun 2000, Selat Melaka dan Selat Singapura memang dikenali sebagai “pirate infested waterways” kerana jumlah kes-kes melanun yang begitu tinggi statistiknya. Oleh kerana bimbangkan keselamatan kapal-kapal dagang yang melalui selat sepanjang 900 km itu (dianggarkan sebanyak 50,000 kapal dagang menggunakan selat berkenaan setiap tahun), Amerika Syarikat (AS) pernah menyuarakan hasrat untuk menghantar armada lautnya bagi mengawasi keselamatan peraiaran berkenaan. Namun, tawaran AS telah ditolak dan sebagai opsyennya negara-negara pesisir Selat Melaka khasnya Malaysia, Indonesia dan Singapura telah sepakat untuk mengadakan rondaan secara gabungan bersama membabitkan tentera laut dan tentera udara negara-negara terbabit.
Penyertaan Thailand sebagai ahli ke empat di dalam kerjasama ini amat dialu-alukan kerana ia dapat meningkatkan sinergi di dalam usaha negara-negara pesisir Selat Melaka membanteras aktiviti melanun di perairan berkenaan. Pada masa yang sama juga , dengan wujudnya kerjasama ini ia akan dapat meningkatkan lagi hubungan baik sesama negara serantau.

Sunday, April 17, 2011

ATM SEDIA BANTU INDONESIA

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Azizan Ariffin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia memberi bantuan kepada Indonesia untuk membebaskan 20 anak kapalnya yang ditawan oleh lanun Somalia di perairan Teluk Aden, pada 16 Mac 2011 lalu. Tambah PAT lagi, setakat ini ATM masih belum dihubungi pemerintah Indonesia untuk tujuan tersebut tetapi bersedia membantu sekiranya diperlukan.

Pada 16 Mac lalu, sebuah kapal dagang Indonesia, Sinar Kudus telah ditawan oleh lanun Somalia ketika belayar melalui perairan Teluk Aden.Seramai 20 anak kapal tersebut telah ditawan tetapi difahamkan kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

Tawaran bantuan yang dipanjangkan kepada pemerintah Indonesia oleh ATM adalah satu langkah yang amat dialu-alukan kerana ia konsisten dengan semangat kerjasama di kalangan negara-negara ASEAN. Pada pandangan saya, ATM menawarkan bantuan tersebut kerana ia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Kehadiran MV Bunga Mas 5 di peraiaran Laut Aden untuk mengiringi kapal-kapal dagang Malaysia yang melalui perairan tersebut sudah pun teruji keberkesanannya apabila pasokan elit yang ditempatkan di dalam kapal berkenaan berjaya menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel beserta 23 anak kapalnya daripada menjadi tawanan lanun Somalia pada akhir bulan Jan lalu. Jika sebaliknya pemerintah Indonesia menganggap bahawa pendekatan secara "raid and rescue" itu mempunyai risiko yang tinggi khasnya kepada keselamatan anak-anak kapal Sinar Kudus, ATM juga mempunyai pengalaman untuk menyelesaikan masalah itu melalui cara perundingan dengan pihak lanun dengan bantuan pihak "elders" Somalia.

Apa juga bentuk respon yang bakal diberi oleh pihak Indonesia, pada hemat saya kenyataan PAT untuk memberikan bantuan itu patut dipuji. Ia mencerminkan kesungguhan pucuk pimpinan ATM untuk melaksanakan diplomasi ketenteraan bukan sahaja bagi tujuan membina keyakinan (confidence building) dengan angkatan tentera negara asing malah diplomasi ketenteraan ini dilakukan sebagai sambungan (extension) kepada dasar dalam dan luar negara kita. Ada ketikanya, apabila proses di meja rundingan menemui kegagalan, diplomasi ketenteraan memainkan peranan penting untuk mengendurkan ketegangan.

Thursday, April 7, 2011

TUDM:PEMBELIAN AWACS MASIH DALAM PERANCANGAN

TUDM: PEMBELIAN AWACS MASIH DALAM PERANCANGAN

Panglima Tentera Udara (PTU), JenTan Sri Rodzali Daud mengumumkan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih meneruskan rancangan untuk membeli pesawat-pesawat Airborne Warning and Control System (AWACS) . Bercakap kepada pemberita selepas upacara penganugerahan “sayap” kepada 34 juruterbang TUDM di Kolej TUDM, Alor Setar pada akhir Mac 2011 lalu, PTU menjelaskan bahawa pembelian pesawat-pesawat AWACS akan melengkapkan pengurusan ruang udara negara .Buat masa ini, tambah beliau, masih terdapat ruang-ruang kosong yang perlu diisi bagi melindungi kedaulatan dan keselamatan ruang udara negara. Dengan adanya pesawat-pesawat AWACS itu kelak, keupayaan TUDM untuk mengesan pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat-pesawat udara negara-negara asing akan menjadi lebih efisyen dan pantas jika dibandingkan dengan penggunaan sistem yang mereka milikki dewasa ini.

TUDM telah membuat perancangan untuk mendapatkan pesawat-pesawat AWACS sejak RMP 7 (1996 – 2000) lagi tetapi terpaksa dibatalkan kerana tidak ada peruntukan untuknya. Usaha untuk memperoleh pesawat-pesawat yang sama menerusi RMP 8 juga terpaksa ditangguhkan selepas Malaysia membeli 18 buah pesawat Sukhoi SU-30MKM pada tahun 2003.

Menurut laporan tahun 2003, TUDM merancang untuk membeli sebanyak 4 buah pesawat AWACS, setiap satu berharga lebih dari RM 1 billion. Rancangan pembelian berkenaan adalah sejajar dengan pandangan ATM bahawa jumlah pesawat yang dirancang pembeliannya oleh TUDM adalah merupakan keperluan minimum bagi tujuan pengawasan ruang udara negara. Sehubungan dengan itu juga, Kementerian Pertahanan diberitakan merancang untuk memperoleh pesawat-pesawat AWACS berkenaan sama ada daripada Syarikat Embraer (Brazil), atau Northrop-Grumman atau Boeing, kedua-keduanya syarikat pengeluar kapalterbang daripada Amerika Syarikat.

Memandangkan bahawa kerajaan sudahpun memperuntukkan belanjawan yang besar kepada Kementerian Pertahanan/ATM bagi pembelian aset-aset pertahanan menerusi RMK 10 ini, kita tidak pasti sama ada hasrat TUDM untuk mendapatkan pesawat-pesawat AWACS berkenaan dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini. Namun demikian, apa juga halangannya, rancangan tersebut perlu dijadikan sebagai satu kenyataan, bukan dengan tujuan untuk bersaing dengan negara-negara jiran ataupun mencetuskan perlumbaan senjata, tetapi sebagai satu langkah bagi meningkat dan memperkasakan usaha bagi melindungi ruang udara dan kedaulatan wilayah negara dari dicerobohi oleh pihak musuh.