Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Azizan Ariffin berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia memberi bantuan kepada Indonesia untuk membebaskan 20 anak kapalnya yang ditawan oleh lanun Somalia di perairan Teluk Aden, pada 16 Mac 2011 lalu. Tambah PAT lagi, setakat ini ATM masih belum dihubungi pemerintah Indonesia untuk tujuan tersebut tetapi bersedia membantu sekiranya diperlukan.
Pada 16 Mac lalu, sebuah kapal dagang Indonesia, Sinar Kudus telah ditawan oleh lanun Somalia ketika belayar melalui perairan Teluk Aden.Seramai 20 anak kapal tersebut telah ditawan tetapi difahamkan kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.
Tawaran bantuan yang dipanjangkan kepada pemerintah Indonesia oleh ATM adalah satu langkah yang amat dialu-alukan kerana ia konsisten dengan semangat kerjasama di kalangan negara-negara ASEAN. Pada pandangan saya, ATM menawarkan bantuan tersebut kerana ia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Kehadiran MV Bunga Mas 5 di peraiaran Laut Aden untuk mengiringi kapal-kapal dagang Malaysia yang melalui perairan tersebut sudah pun teruji keberkesanannya apabila pasokan elit yang ditempatkan di dalam kapal berkenaan berjaya menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel beserta 23 anak kapalnya daripada menjadi tawanan lanun Somalia pada akhir bulan Jan lalu. Jika sebaliknya pemerintah Indonesia menganggap bahawa pendekatan secara "raid and rescue" itu mempunyai risiko yang tinggi khasnya kepada keselamatan anak-anak kapal Sinar Kudus, ATM juga mempunyai pengalaman untuk menyelesaikan masalah itu melalui cara perundingan dengan pihak lanun dengan bantuan pihak "elders" Somalia.
Apa juga bentuk respon yang bakal diberi oleh pihak Indonesia, pada hemat saya kenyataan PAT untuk memberikan bantuan itu patut dipuji. Ia mencerminkan kesungguhan pucuk pimpinan ATM untuk melaksanakan diplomasi ketenteraan bukan sahaja bagi tujuan membina keyakinan (confidence building) dengan angkatan tentera negara asing malah diplomasi ketenteraan ini dilakukan sebagai sambungan (extension) kepada dasar dalam dan luar negara kita. Ada ketikanya, apabila proses di meja rundingan menemui kegagalan, diplomasi ketenteraan memainkan peranan penting untuk mengendurkan ketegangan.
Sunday, April 17, 2011
ATM SEDIA BANTU INDONESIA
Posted by ben sungib at 8:17 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment