Sunday, May 15, 2011

"TIDAK ADA PASOKAN TENTERA LUAR YANG MENGANCAM NEGARA KITA"

"Tidak ada pasokan tentera luar yang mengancam negara kita". Demikian jelas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sewaktu diwawancara oleh wartawan The Sun pada 7 Mei 2011 lalu. Tambah beliau, apa yang kita hadapi sekarang adalah musuh daripada dalam negeri, contohnya tidak adanya perpaduan di kalangan rakyak ataupun keengganan sebahagian daripada rakyat untuk mengikut arus perdana majoriti rakyat Malaysia. Unsur-unsur seperti ini, jelas Datuk Seri Dr Zahid, merupakan ancaman yang boleh menghancurkan masyarakat pelbagai agama, pelbagai bangsa dan pelbagai budaya yang telah dipupuk oleh para pemimpin sebelum ini.

Saya bersetuju dengan pandangan Menteri Pertahanan mengenai tidak wujudnya ancaman luaran terhadap negara ini. Perlu diakui bahawa Malaysia menghadapi masalah dua hala dengan hampir keseluruhan negara yang berkongsi wilayah sempadan dengannya. Masalah seperti tuntutan bertindih dengan negara-negara jiran boleh mencetuskan ketegangan yang berkesudahan dengan ancaman ketenteraan kepada negara seandainya gagal ditangani dengan baik. Namun, dengan menggunakan pendekatan melalui meja rundingan, kita bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah-masalah tersebut secara diplomatik tetapi yang lebih penting dapat mengelakkan negara daripada bermusuhan dengan jiran-jirannya dan seterusnya menghindarkan negara daripada menghadapi ancaman luaran.

Penjelasan Menteri Pertahanan itu juga konsisten dengan apa yang telah diperakukan oleh Kementerian Pertahanan/Angkatan Tentera Malaysia menerusi Kertas Puteh mengenai Dasar Pewrtahanan Negara Malaysia (DPNM). Bab 2 kepada DPNM bertajuk "Perspektif Strategik Serantau" tidak memberi fokus kepada sebuah atau beberapa buah negara sebagai musuh kita. Sebaliknya, DPNM telah memberikan gambaran tentang perkembangan politik dan strategik yang berlaku di rantau Asia secara keseluruhannya, meliputi contohnya, ketegangan antara Korea Utara/Korea Selatan, krisis antara India/Pakistan dan antara Republik Rakyat China/Taiwan serta ancaman terrorisme.

Pandangan DPNM mengenai keadaan persekitaran strategik serantau ini mencermikan wujudnya perkongsian dan persamaan dari segi perspektif keselamatan diantara Malaysia dengan negara-negara serantau. Kepentingan strategik Malaysia dilihat hampir selari dengan kepentingan strategik negara-negara jirannya. Dalam keadaan yang sedemikian, boleh dirumuskan bahawa kedudukan keselamatan Malaysia dianggap sebagai "indivisible" dengan kedudukan keselamatan negara-negara jiran yang lain. Apa juga bentuk ancaman yang dihadapi oleh ASEAN secara kolektif atau ke atas salah sebuah negara ASEAN boleh dianggap sebagai ancaman kepada Malaysia.

Rumusannya, bagi mengelakkan lahirnya musuh di kalangan negara-negara ASEAN, kerjasama serantau (regional cooperation) perlulah diwujudkan manakala ketahanan serantau (regional resilience) pula perlu dibina dan dipupuk bagi menangkis apa juga bentuk ancaman daripada luar rantau.

2 comments:

Anonymous said...

Selagi rakyat bersatu padu , selagi satu pihak tak menimbulkan amarah satu pihak yang lain , selagi itulah tidak akan ada satu pasukan atau negara pun dalam Asia ini yang berani dan mampu menghancurkan negara ini ,

kita ibarat lidi , jika banyak dan diikat kemas ..pastilah gagah , tapi jika diceraikan satu persatu pasti lemah dan mudah dpatahkan .

musuh negara yang sebenar ialah perpecahan dan persengketaan sesama rakyat , samada gara2 berbeza fahaman politik ..atau sebab kepentingan kaum atau dengan sebab yang lain ,
kita sudah melihat banyak tanda betapa perpecahan rakyat itu boleh berlaku , kita sudah melihat bagaimana perpaduan kaum dinegara ini terlalu rapuh , boleh berderai pada bila-bila masa !

musuh sebenar bukan dari luar , tapi adlah dari rakyat dalam negara , mereka samada berlindung disebalik nama pertubuhan , atau NGO atau badan perniagaan atau badan kebajikan atau sebagainya ,
mereka inilah yg sebenarnya harus diawasi dan diambil tindakan !

Anonymous said...

zaman ini ,sesebuah negara tidak akan berani melancarkan serangan secara solo berhadapan secara langsung dengan sasaran kecuali masa terdesak atau apabila terbukti mereka mampu melakukanya ! sebagai contoh serangan US terhadap Iraq dan sebagainya , itu pun pada peringkat awal US perlukan bantuan 25 negara lain sebagai sokongan ...

oleh itu , taktik sesebuah negara lain utk melemahkan adalah dengan menggunakan rakyat malaysia sendiri sebagai proksi , mereka salurkan bantuan kewangan dan nasihat , mereka tubuhkan pelbagai NGO ..mereka tubuhkan pelbagai persatuan , mereka berselindung disebalik slogan yang muluk2 utk memabukan dan mengkayalkan ,

serangan keatas mesir sudah dirancang sejak belasan tahun yg lalu , malah sejak puluhan tahun yg lampau , setiap langkah mereka bermula dari tahap satu , tahap kedua dan ketiga ..
apa berlaku dimalaysia kini adalah serangan dan langkah tahap kedua , tahap pertama sudah lepas , kini masuk tahap kedua dan ketiga , sekiranya rakyat negara ini masih tak sedar, alamat lebur nusa ditangan sendiri , sejarah melaka akan berulang k!embali