Monday, February 21, 2011

SATU LAGI PENCAPAIAN "PERTAMA" UNTUK NORHUDA



Tahniah kepada Kol Norhuda Ahmad kerana dinaikkan pangkat ke Brigadier Jeneral pada 16 Feb 2011 yang lalu. Sesungguhnya kenaikkan pangkat itu bukan sahaja merupakan satu kejayaan peribadi kepada beliau tetapi ia merupakan satu sejarah kepada Kor Risik DiRaja (KRD) dan Tentera Darat (TD) kerana buat julung kalinya seorang pegawai dari Senarai Am TD telah dinaikkan ke pangkat Brig Jen.

Saya melihat kenaikkan pangkat Norhuda ini dari dua aspek; pertama, dari segi ketokohan dan kelayakan beliau sendiri dan kedua, dasar yang dipraktiskan oleh TD masa kini.

Dari segi ketokohan dan kelayakan, kenaikkan pangkat Norhuda tidak perlu dipertikai dan diragui lagi. Sejak berkhidmat selama lebih dari 30 tahun bersama TD, banyak pencapaian "pertama" yang telah beliau peroleh. Beliau adalah merupakan salah seorang daripada sekumpulan pegawai-pegawai muda wanita daripada Askar Wataniah (AW) yang menjadi perintis untuk berkhidmat secara tetap dan seterusnya menubuhkan "Kor Pegawai Wanita" di dalam TD pada pertengahan tahun 1970an. Norhuda juga merupakan pegawai wanita pertama yang dianugerahkan dengan "sayap" selepas lulus di dalam Kursus Asas Payung Terjun yang dianjurkan oleh Pusat Latihan Pasokan Khas (PLPK). Selain dari itu, beliau juga adalah pegawai wanita pertama dari Senarai Am TD yang dinaikkan ke pangkat Kolonel dan pegawai wanita pertama yang memegang jawatan sebagai Komandan, Pusat Latihan Risik. Dari segi kelayakan akademik dan kerjaya pula, Norhuda adalah pemegang ijazah pertama (BA) dalam jurusan Komunikasi Massa dan tiga (3) ijazah di peringkat sarjana (MA) dalam bidang-bidang Pengurusan Sumber Manusia, Pengajian Pertahanan dan Pengajian Dasar, Perisikan dan Anti-Keganasan.

Dari segi polisi pula, adalah menjadi dasar TD untuk memberi peluang kepada setiap anggotanya, sama ada pegawai atau anggota lelaki mahupun wanita, untuk dinaikkan pangkat. Tidak ada diskriminasi dari segi "gender" ataupun bangsa. Menyentuh mengenai perkara ini, Panglima Tentera Darat, Jen Dato Seri Zulkefeli Mohd Zain berkata, selain kekosongan jawatan, antara kriteria yang diperlukan untuk pertimbangan kenaikkan pangkat ialah rekod perkhidmatan yang baik dan bersih, pengalaman dan keupayaan intelektual.

Sekali lagi tahniah kepada Norhuda. Semoga kenaikkan pangkat beliau boleh dijadikan perangsang dan contoh untuk diikuti oleh pegaswai-pegawai wanita TD yang lain.

0 comments: